NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemain industri pakej haji harap kuota jemaah ditingkatkan


KUALA LUMPUR: Pemain industri pakej haji berharap kerajaan Arab Saudi dapat meningkatkan kuota untuk rakyat Malaysia mengerjakan ibadah haji di negara itu melebihi 32,000 jemaah sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali, berkata ini kerana sejak 2019 tiada kemasukan jemaah haji dibenarkan ke Tanah Haram susulan pandemik COVID-19.

"Tahun ini diharapkan ada dan disertai dengan penambahan kuota sedia ada (32,000). Itulah harapan semua orang. Pemain industri berkenaan pakej haji dan umrah terasa (impak) ketiadaan jemaah selama tiga tahun iaitu pada 2020, 2021 dan tahun ini.

"Jika sudah tiga tahun tertunggak yang membabitkan jumlah lebih kurang 90,000 jemaah dan jika kuota 32,000 seperti biasa (sebelum COVID-19) maka ramai lagi akan tertunda dan lambat untuk menyelesaikan tunggakan jemaah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ahmad Ruzman berkata demikian pada sesi taklimat agensi pelancongan umrah dan haji negara oleh Kementerian Luar Arab Saudi di Malaysia di sini, hari ini.

Taklimat itu membabitkan pengenalan aplikasi baharu yang akan dilancarkan esok bagi memudahkan proses jemaah umrah dan haji serta mempercepatkan operasi Imigresen Arab Saudi di Jeddah dan Madinah serta Kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

Ahmad Ruzman berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad kini sedang berada di Arab Saudi untuk lawatan kerja dan berharap dapat membawa pulang berita baik kepada jemaah negara.

Mengenai sesi taklimat membabitkan 106 agensi umrah dan haji Malaysia hari ini, Ahmad Ruzman berkata ia diadakan bagi memudah cara pengendalian jemaah yang akan berkunjung ke Arab Saudi untuk ibadat umrah atau haji.

Beliau berkata, dengan pengenalan aplikasi itu, syarikat yang terbabit dengan umrah dan haji akan dapat memanfaatkannya dan menambah baik pengendalian jemaah Malaysia sedia ada. – BERNAMA




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo