NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan akur terhadap cadangan bina Terowong SMART kedua di Lembah Klang

Gambar fail NSTP

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ada menerima beberapa cadangan daripada syarikat swasta untuk membina Terowong SMART kedua di Lembah Klang bagi mengatasi isu banjir yang semakin teruk.

Pengarah Bahagian Pengurusan Banjir JPS, Rozman Mohamad, berkata pihaknya terbuka dengan cadangan itu memandangkan pelbagai sistem tebatan banjir dan kolam takungan sedia ada, tidak dapat mengatasi isu banjir.

Ketika ini, katanya, kerajaan sedang mempertimbangkan faedah kos cadangan itu kerana ia dijangka membabitkan belanja yang amat tinggi, memandangkan terowong kedua yang dicadangkan adalah lebih panjang berbanding Terowong SMART di ibu negara.

"Kita ada dapat beberapa cadangan daripada syarikat swasta yang mencadangkan pembinaan Terowong SMART yang kedua.

"Berdasarkan cadangan itu, terowong yang mahu dibina adalah lebih panjang daripada Terowong SMART yang ada sekarang, dan ada yang ingin menggunakan mesin TBM (yang digunakan untuk projek pembinaan terowong) MRT.

"Ini perlu dikaji dengan teliti kerana pembinaannya babitkan kos yang tinggi dan perlu juga lihat pulangan kepada kerajaan.

"Pembinaan Terowong SMART sepanjang 11.8 kilometer membabitkan kos RM2.2 bilion, dan yang dicadang ini lebih panjang. Jadi, kita perlu telili impak dan faedah kosnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Ruang Bicara bertajuk 'Banjir Kilat: Siasat Urus dan Penyelesaiannya' yang disiarkan secara langsung di BERNAMA TV, malam ini.

Yang turut hadir sebagai ahli panel ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Dr Salwa Ramly dan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar) JPS, Bibi Zarina Che Omar.

Mengulas lanjut, Rozman berkata, kerajaan juga sedang membina kolam takungan air bawah tanah bersaiz besar seperti yang ada di Jepun untuk mengatasi isu banjir di Kuala Lumpur.

Katanya, projek itu dilaksanakan kerana ketiadaan ruang untuk membina kolam takungan berhampiran sungai utama di ibu negara, memandangkan hampir semua kawasan tebing sungai itu sudah dibangunkan.

"Di Jepun, kebanyakan kawasannya juga sudah membangun seperti di Kuala Lumpur dan tiada ruang untuk membina kolam, jadi mereka menggunakan kolam bawah tanah yang amat besar.

"Di Kuala Lumpur, kita sedang melaksanakannya menerusi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bunus, di mana kita ada membina kolam bawah tanah di padang PULAPOL (Pusat Latihan Polis).

"Apabila ia siap pada 2024, kolam di bawah tanah ini boleh digunakan untuk tebatan banjir, dan di atasnya boleh digunakan sebagai padang bola sepak," katanya.

Sementara itu, Bibi Zarina berkata, sistem perparitan di beberapa kawasan di ibu negara perlu dibina semula, memandangkan ada antaranya masih menggunakan sistem perparitan yang dibina lebih 60 tahun lalu.

"Kuala Lumpur sudah dibangunkan sejak sebelum atau tidak lama selepas merdeka, jadi kebanyakan pembangunan lama masih menggunakan sistem perparitan lama yang berkapasiti kecil.

"Banyak parit dalaman di Kuala Lumpur sudah terlalu lama dan perlu ditambah baik. JPS sedia membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menambah baik saliran di kawasan ibu negara," katanya.

Dalam pada itu, Salwa menyarankan orang ramai menggunakan sepenuhnya sistem Public Info Banjir yang dibangunkan JPS sejak lebih 20 tahun lalu, untuk mengetahui sama ada kawasan mereka berisiko dinaiki air.

Menerusi sistem itu, katanya, orang ramai boleh melihat kenaikan atau penurunan aras air sungai berhampiran kawasan mereka, sekali gus dapat mengetahui risiko banjir dan membuat rancangan susulan.

"Sistem ini sudah ditambah baik dengan teknologi terkini, antaranya kita bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk memaparkan radar hujan semasa.

"Jika kita boleh buka Facebook dan WhatsApp setiap hari, kita juga sepatutnya boleh gunakan sistem ini setiap hari untuk merancang aktiviti harian, daripada kesesuaian menyidai baju hinggalah persediaan berdepan risiko banjir," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo