NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PICKids: Melaka cadang wujudkan PPV bergerak ke sekolah

Gambar hiasan. Kanak-kanak mula menerima suntikan vaksin pada Program PICKids peringkat negeri di Dewan Datuk Hj Ahmad Ithnin, Merlimau, Melaka. 

JASIN: Kerajaan negeri bercadang mewujudkan pasukan vaksin bergerak ke sekolah dalam usaha mempercepatkan pemberian vaksin kepada kanak-kanak.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan negeri serta Jabatan Pendidikan negeri bagi memantapkan pengurusan dan pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Katanya, usaha pemberian vaksin bergerak itu bagaimanapun tertakluk kepada permintaan pihak sekolah kepada Jabatan Pendidikan negeri dan Jabatan Kesihatan negeri.

"Saya faham, mungkin ibu bapa tiada masa untuk membawa anak mereka mendapatkan vaksin disebabkan kekangan kerja. Sebab itulah kita bercadang melaksanakan pusat pemberian vaksin bergerak ke sekolah bagi memudahkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun mendapatkan vaksin.

"Langkah ini dijangka mempercepatkan lagi PICKids di Melaka," katanya selepas merasmikan PICKids peringkat negeri di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin, Merlimau, di sini, hari ini.

Sebagai simbolik perasmian, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut melakukan suntikan vaksin kepada anak sulungnya, Muhammad Ziyad, 7.

PICKids di Melaka bermula Selasa lalu dengan pemberian vaksin kepada kanak-kanak 'immunocompromised' dan mempunyai penyakit kronik, manakala pemberian vaksin di PPV biasa pula bermula semalam.

Tujuh PPV menyediakan perkhidmatan PICKids membabitkan PPV Encore, PPV Kipmall dan PPV Melaka Mall bagi daerah Melaka Tengah, diikuti PPV Japerun Lendu dan PPV UITM Alor Gajah (daerah Alor Gajah) manakala PPV Pusat Polis Jasin dan PPV Dewan Datuk Hj Ahmad Ithnin (Jasin).

Dr Muhamad Akmal berkata, memandangkan cuti persekolahan bermula 20 Februari ini, program pemberian vaksin bergerak itu dijangka dapat dimulakan pada sesi baharu persekolahan, bulan depan.

Katanya, pihak sekolah yang berminat untuk mendapatkan kemudahan PPV bergerak itu boleh berhubung terus dengan Jabatan Pendidikan negeri.

Sementara itu, beliau berkata sehingga kelmarin, seramai 15,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin menerusi aplikasi Mysejahtera.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 1,360 kanak-kanak sudah menerima vaksin pertama.

"Kita menyasarkan 80 peratus daripada keseluruhan 98,600 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Melaka dan dimulakan dengan pemberian vaksin kepada kanak-kanak berumur tujuh tahun hingga 11 tahun membabitkan seramai 71,624 orang.

"Menjelang hujung bulan ini, kita menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus kanak-kanak yang layak sudah menerima vaksin dos pertama," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo