NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan negeri kesal insiden pergaduhan memalukan

Suasana tegang di antara pemain Terengganu FC II dan Pemain Penang FC selepas berlaku pergaduhan pada Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi. - Foto Google

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri kesal dengan insiden pergaduhan antara pemain Terengganu FC II (TFC II) dengan Penang FC pada pertemuan terakhir saingan Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, insiden memalukan itu tidak sepatutnya berlaku dan ia boleh dielakkan jika pemain kedua-dua pasukan mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi dan bijak mengawal emosi.

"Saya melahirkan kekecewaan dengan insiden yang tidak sepatutnya berlaku ini, jika pemain kedua-dua pasukan bijak mengawal emosi dan mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi, pergaduhan yang tercetus itu pasti boleh dielakkan.

"Kita harapkan insiden seperti ini tidak lagi berulang dalam pertandingan yang akan datang kerana matlamat kejohanan ini bukan sahaja untuk menilai kelemahan dan kekuatan sesebuah pasukan untuk tujuan penambahbaikan sebelum Liga Malaysia (Liga M) membuka tirainya awal Mac depan, tapi yang penting untuk menaikkan taraf bola sepak dan melahirkan ramai bakat yang lebih hebat," katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada juara di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Dalam kejohanan empat penjuru yang turut disertai tiga pasukan Liga Super iaitu Sri Pahang FC, Penang FC selain pasukan Terengganu FC (TFC), skuad TFC II bimbingan jurulatih Badrul Afzan Razali yang bakal beraksi dalam pentas Liga Perdana muncul juara edisi kedua itu selepas menamatkan saingan di kedudukan teratas dengan mengutip enam mata hasil dua kemenangan.

Bagaimanapun kejayaan itu dicemari dengan insiden 'panas' yang bermula pada minit ke-45 dengan aksi tumbukan, sepakan ala kungfu serta kejar-mengejar antara pemain kedua-dua pasukan yang menyaksikan pemain TFC II, Ridzuan Razali berbalut di kepala kerana mengalami kecederaan manakala pemain pelawat, Muhammad Adib Abdul Ra`op mengalami pendarahan pada bahagian hidung.

Punca tercetusnya insiden memalukan itu tidak dapat dipastikan, namun ia berlaku ketika pemain kedua-dua pasukan 'berkampung' dalam kawasan pintu gol tuan rumah selepas sepakan penalti yang diambil kapten Penang FC, Endrick Dos Santos berjaya diselamatkan penjaga gol, Mohd Shafawi Mohamad, ketika itu TFC II mendahului 1-0 hasil jaringan Ahmad Nur Rahman Ab Rasid pada minit ke-30.

Selepas pergaduhan itu, perlawanan terhenti selama 45 minit sebelum pengadil perlawanan, Mohd Amirul Aizat Mat Lodin memberikan kemenangan kepada pasukan TFC II selepas skuad bimbingan Tomas Trucha enggan meneruskan perlawanan.

Ketika ditanya mengenai insiden panas itu, Wan Sukairi enggan mengulas sebaliknya menyerahkan kepada pihak berwajib untuk membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

"Saya tidak mahu ulas mengenai insiden yang berlaku pada malam ini (malam tadi), sebaliknya kita serahkan kepada pihak berwajib khususnya Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk membuat sebarang keputusan berdasarkan laporan yang bakal diberikan pihak penganjur," katanya.

Sumber | BH Online





............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo