NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peningkatan Kes COVID-19 : Bersediakah Kita Memasuki Fasa Endemik?

Gegak gempita laman media sosial melaporkan kenaikan kes COVID-19 secara mendadak di Malaysia. Ada yang membuat spekulasi bahawa PKP akan dilaksanakan, sekolah akan kembali ditutup dan ziarah raya tidak akan dibenarkan. Persoalannya adakah betul tanggapan berkenaan?

Negara sekarang sedang beralih ke fasa endemik selepas semua negeri sudah berada di fasa 4 pelan pemulihan negara. Oleh sebab itu beberapa pengumuman telah dibuat oleh pihak kerajaan antaranya membuka pintu sempadan negara dan pemansuhan pemeriksaan suhu badan di premis-premis sebagai persediaan ke arah fasa endemik.

Endemik adalah satu istilah epidemiologi yang bermaksud kadar jangkitan sesuatu penyakit berada di paras normal dalam sesuatu negara. Ini bermaksud komuniti kena menerima virus COVID-19 sentiasa berada di sekeliling kita, dan mustahil untuk mencapai 0 kes dalam negara. Walaupun penyakit COVID-19 ada di sekeliling kita namun jangkitannya tidak menjadi ancaman dan tiada peningkatan kadar kemasukan ke hospital.

COVID-19 hanya bertukar ke fasa endemik setelah immuniti terhadap penyakit tinggi dalam komuniti. Ini boleh dicapai melalui pemberian vaksin dan pembinaan immuniti semulajadi melalui jangkitan dalam komuniti. Oleh sebab itu,peningkatan kes dalam komuniti merupakan satu proses yang cukup penting untuk membina immuniti semulajadi.

Hakikatnya negara boleh sahaja menuju ke arah fasa endemik dengan cepat setelah menghapuskan semua SOP yang ada dan membuka pintu sempadan negara seluas-luasnya. Namun, peningkatan kes sebegini akan meningkatkan beban sistem kesihatan dalam negara dan meningkatkan kadar kematian disebabkan oleh COVID-19. Oleh yang demikian, kerajaan mengambil kaedah agar fasa endemik ini berlaku secara berperingkat dan kesannya dapat ditampung oleh sistem kesihatan yang sedia ada.

Data menunjukkan peningkatan kes COVID-19 yang berlaku dalam minggu ini tidak membebankan sistem kesihatan yang sedia ada apabila kadar penggunaan katil hospital hanya 33% dan kadar penggunaan katil ICU pula hanya 14 %. Bilangan kes kematian COVID-19 juga telah menunjukkan penurunan yang ketara dengan kadar kematian kes hanyalah 0.2%.

Kesimpulannya, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dan membuat spekulasi yang pelbagai berkenaan peningkatan kes COVID-19 yang berlaku sekarang. Paling penting adalah usaha kita semua untuk memutuskan jangkitan COVID-19 dan mengurangkan risiko keterukan penyakit antaranya:

1. Pastikan pengambilan vaksin dan dos penggalak vaksin kepada semua ahli keluarga.

2. Amalkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka di tempat yang sesak.

3. Lakukan ujian kendiri air liur sekiranya bergejala.

4. Kuarantin dan dapatkan rawatan awal sekiranya positif COVID-19.

5. Pastikan sentiasa berdoa kepada Allah agar diri, keluarga dan komuniti dilindungi daripada segala wabak penyakit.

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Bin Tengku Md Fauzi
Kluster Kesihatan,
Jabatan Profesional Muda (JPro)

Penulis merupakan Pengerusi Kluster Kesihatan JPro, Jabatan Profesional Muda (JPro). Beliau juga seorang doktor perubatan lepasan Universiti Alexandria, sering berkongsi penulisan berkait tentang dunia perubatan dan kesihatan di media sosial.

Rujukan:
1.https://covid-19.moh.gov.my/semasa-kkm/2022/02/kenyataan-media-kementerian-kesihatan-malaysia-07-feb-2022

2.https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S1074761321004040

#trending
#jprodppm
#nurturingprofessionals

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo