NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muda persoal kenapa Najib laga penumbuk tidak pula kena tindakan



PRN JOHOR | Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mempersoalkan apakah bekas perdana menteri, Najib Razak dan BN akan dikenakan tindakan yang sama selepas pengkuatkuasa Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan notis untuk memanggil calon Muda DUN Bukit Permai, Mohd Azrol Rahani bagi membantu siasatan pihak berkuasa itu.

Muda berkata, notis itu dikeluarkan selepas Azrol melakukan laga penumbuk dengan seorang penyokong di luar pusat penamaan calon Bukit Permai semalam.

Ketua Penerangan Muda, Zaidel Baharuddin berkata, golongan elit politik mendapat layanan berbeza berbanding parti politik seperti Muda dalam isu prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

"Najib Razak dan BN sebagaimana golongan elit bangsawan lama merasakan bahawa undang-undang tak terpakai untuk mereka. Selain dari masalah penguat kuasa, budaya langgar SOP ini budaya politik lama,” katanya.

Sekiranya Azrol didapati melakukan kesalahan, dia boleh dikompaun sehingga RM1,000 atau lebih jika kes itu dibawa ke mahkamah.


"Denda RM1,000 kepada Muda, orang biasa rasa berat, kalau banding dengan dengan RM1,000 untuk Najib, BN adalah kacang putih bagi mereka.

"Sebagaimana Umno tak peduli dengan pandemik, jangan terkejut perkara ini akan berlaku lagi. Mereka akan langgar lagi (SOP)," kata Zaidel.

Pagi ini, Najib membantu kempen calon BN di kerusi DUN Perling Nicole Tan Hiang Kee di mana dia dilihat berlaga penumbuk dengan beberapa individu yang menyatakan sokongan kepada bekas presiden Umno itu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang dalam rangka lawatan kerja ke Johor tengah hari ini, berkata kementeriannya akan meneliti video lawatan Najib untuk memutuskan tindakan susulan.

Khairy berkata kadang kala, pemimpin cenderung untuk dipersalahkan tetapi terdapat situasi di mana orang ramai mengerumuni mereka untuk mengambil gambar.

Justeru, Khairy, yang melawat kerusi DUN Layang-layang hari ini berkata penguatkuasa perlu menggunakan budi bicara mereka.

'Laga penumbuk tak okay, peluk okay'

Pada sebelah petang, Presiden Muda, Syed Saddiq Abdul Rahman yang membantu kempen calon Muda di Bukit Kepong, Afiqah Zulkifli turut mempersoalkan tindakan KKM memanggil Azrol berhubung insiden berlaga penumbuk itu.

“Semalam ada di Bukit Permai, isu fist bump. Saya katakan mana yang KKM saman jangan angkuh dan marah kerana mereka hanya pegawai dan buat kerja, tapi tanggungjawab kita untuk bawa pembaharuan dasar.

“First bump dikata tak boleh saya kata kami boleh tunjuk video semua pelancaran BN, malah ada gambar peluk, tak kena saman pula," kata Syed Saddiq kepada wartawan.

Pembantu Azrol memberitahu Malaysiakini dia sedang berbincang dengan peguam dan akan mengadakan sidang media esok.

Menurut notis yang dilihat Malaysiakini, Azrol dipanggil mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah, sama seperti kuasa yang diberikan kepada polis untuk menyoal saksi.

Semalam, pihak berkuasa kesihatan turut mengenakan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap wartawan Sin Chew Daily, Wang Kian Yong.

Wang berkata dia dikenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 selepas menemubual calon pilihan raya.

Khairy bagaimanapun hari ini berkata dia telah mengarahkan kompaun itu dibatalkan, dengan menyatakan bahawa wartawan berkenaan tidak melakukan sebarang kesalahan.

Sumber | Malaysiakini



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo