NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MMK warta Hutan Simpan Sungai Lembing elak pencerobohan

KERJA memusnahkan lebih 200 pokok durian Musang King yang ditanam secara haram dalam hutan milik kerajaan di Sungai Lembing. FOTO Mohd Rafi Mamat

KUANTAN: Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang bersetuju mewartakan tanah milik kerajaan seluas 38.68 hektar dekat Kampung Kolong Pahat, Sungai Lembing, Mukim Hulu Kuantan, sebagai Hutan Simpan Sungai Lembing.

Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata hasil mesyuarat pada 26 Januari lalu, MMK bersetuju untuk mewartakan tanah itu sebagai hutan simpan kekal bawah Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.

Beliau berkata, Hutan Simpan Sungai Lembing yang kedudukannya berbukit terbahagi kepada dua plot, iaitu A dan B yang masing-masing seluas 15.98 hektar serta 22.7 hektar.

"Pada mesyuarat MMK terbabit, semua pihak bersetuju untuk menolak mana-mana permohonan yang berlapis dengan kawasan dimohon itu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau mengulas operasi penguatkuasaan bersepadu di Kampung Kolong Pahat dan Kampung Seberang yang dijadualkan berlangsung selama seminggu bermula kelmarin.

Media sebelum ini melaporkan pasukan lebih 100 penguat kuasa yang melaksanakan operasi bersepadu, kelmarin, terpaksa memecahkan pintu pagar elektrik untuk masuk ke ladang durian Musang King yang ditanam secara haram di atas tanah kawasan hutan milik kerajaan di Sungai Lembing.

Dalam operasi selama empat jam bermula jam 10 pagi di Kampung Kolong Pahat dan Kampung Seberang, Sungai Lembing itu, lebih 200 pokok durian Musang King berusia antara empat hingga lima tahun dimusnahkan.

Mengulas lanjut, Mohd Hizamri berkata, pewartaan itu sekali gus memberi kuasa kepada JPNP untuk menyelia serta menguruskan kawasan terbabit daripada dicerobohi sebarang aktiviti tanpa kebenaran.

Malah, beliau berkata, individu yang berada di dalam kawasan terbabit tanpa permit juga boleh didakwa.

Katanya, pihak jabatan akan menanam 3,000 pokok balak berkualiti tinggi di kawasan bekas ladang durian itu dalam usaha memulihara Hutan Simpan Sungai Lembing.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo