NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mark Zuckerberg hilang RM100 bilion dalam masa sehari

NEW YORK: Mark Zuckerberg kehilangan AS$24 bilion (RM100 bilion ) daripada kekayaan peribadinya, selepas perolehan suku keempat Meta Platforms Inc tidak menepati sasaran.

Ia menjadi kehilangan nilai kekayaan dalam masa sehari antara yang terbesar dalam sejarah.

Meta melaporkan tiada pertumbuhan bulanan pengguna Facebook pada suku keempat berbanding tempoh sebelumnya, sekali gus membangkitkan persoalan mengenai masa depan syarikat itu.

Saham Meta merudum kira-kira 20 peratus beberapa jam selepas dagangan pada Rabu.

Sekiranya kekal, ia akan meninggalkan Zuckerberg, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meta dengan kekayaan bernilai AS$97 bilion (RM405 bilion), susut daripada AS$120.6 bilion (RM505 bilion) ketika pasaran ditutup, demikian menurut Bloomberg Billionaires Index.

Ia akan menolak keluarnya daripada senarai 10 bilionair paling kaya di dunia buat kali pertama sejak Julai 2015.

Penurunan kekayaan sebanyak RM100 bilion dalam masa sehari itu adalah antara yang terbesar dalam sejarah, hanya diatasi oleh turun naik nilai kekayaan Elon Musk.

Bilionair terkaya di dunia itu hilang AS$35 bilion (RM145 bilion) dalam masa sehari November lalu apabila saham Tesla Inc menjunam selepas undian pendapat di Twitter meminta pengguna mengundi sama ada beliau wajar menjual 10 peratus kepentingannya dalam syarikat itu.

Nilai kekayaan Musk turut merosot AS$25.8 bilion (RM108 bilion) minggu lalu.

Bagi Meta, laporan perolehan yang mengcewakan itu menambah lagi cabaran kepadanya.

Ia sedang berdepan beberapa dakwaan kawal selia dan mahu menjustifikasi peralihan strategiknya kepada dunia internet baharu yang dikenali sebagai metaverse.

Selain itu, platform lain seperti TikTok dan YouTube semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna lebih muda.

-Bloomberg

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo