NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kyiv, tiga lagi kota Ukraine mungkin diserang Russia

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memberitahu tentera perikatan bahawa sebarang serangan Russia ke atas Ukraine berpotensi menyaksikan beberapa kota menjadi sasaran serangan.

Difahamkan, sasaran bukan hanya ibu kota, Kyiv, menurut tiga pegawai yang mengikuti rapat perkembangan isu itu, berdasarkan maklumat risikan.

Antara kota yang mungkin diserang termasuk Kharkiv di timur laut dan Odessa dan Kherson, di selatan, menurut pegawai Barat, yang tidak mahu identiti mereka didedahkan.

Mereka tidak memberi sebarang butiran mengenai tentang risikan itu tetapi menegaskan percaturan sudah dibuat.

Pandangan AS sebahagian besarnya dirumus berdasarkan pasukan Russia yang dihantar dan keupayaannya sekarang berdekatan Ukraine serta bagaimana mereka membuat persiapan untuk bertindak ke atas beberapa kota pada masa ditetapkan.

Namun, pegawai berkenaan tidak menyatakan dengan jelas apa potensi serangan yang dimaksudkan atau ulasan mengenai apa matlamat utama Presiden Russia, Vladimir Putin.

Bagaimanapun, seorang daripada mereka menyatakan penilaian AS mendapati sebarang serangan besar-besaran akan disokong oleh pasukan udara dan gangguan siber.

Dalam pada itu, imej satelit menunjukkan beberapa penempatan baru di lapangan bagi peralatan berperisai dan tentera Russia berhampiran sempadan Ukraine.

Syarikat swasta AS yang mengendalikan rakaman itu memaklumkan paparan menunjukkan peningkatan kesediaan ketenteraan.

Perkembangan terbaru itu berlaku ketika Russia melanjutkan latihan ketenteraan di Belarus, yang sepatutnya sudah berakhir, sekali gus meningkatkan kekhuatiran dalam kalangan kuasa Barat bahawa Russia akan menyerang Ukraine dalam masa terdekat.

Imej yang dikeluarkan syarikat Maxar Technologies yang berpangkalan di AS itu menjejaki tumpuan tentera Russia selama berminggu-minggu tetapi tidak dapat disahkan oleh agensi berita Reuters.

"Kegiatan baru ini mewakili perubahan dalam corak penempatan kumpulan tempur (kereta kebal, pengangkut anggota berperisai, artileri dan peralatan sokongan) yang diperhatikan sebelum ini," kata Maxar dalam satu kenyataan.

Beberapa penempatan besar kumpulan pertempuran sudah diperhatikan di sekitar barisan tentera di Soloti, Russia, setakat 13 Februari lalu menurut imej satelit, kata syarikat Maxar itu lagi.

Imej pada semalam menunjukkan kebanyakan unit tempur dan peralatan sokongan di Soloti sudah terlepas. Landasan kenderaan yang luas dan beberapa konvoi peralatan perisai dilihat di seluruh kawasan itu, kata syarikat berkenaan.

Beberapa peralatan juga sudah digunakan di Timur Valuyki, Russia di kawasan padang seluas kira-kira 15 kilometer di utara sempadan Ukraine. Sejumlah penempatan lapangan baharu juga dilihat di barat laut bandar Belgorod, Russia, kata Maxar.

Berdasarkan landasan dan salji, aktiviti itu kelihatan seperti baru-baru ini, kata Pengarah Kanan Biro Berita Maxar kepada Reuters.

"Bagi saya ia menunjukkan peningkatan tahap kesediaan," katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Amerika telah memberi amaran kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bahawa Russia memiliki senarai warga Ukraine 'untuk dibunuh atau dihantar ke kem' jika berlaku pencerobohan.

Perkara itu dinyatakan dalam surat yang dihantar kepada Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Cik Michelle Bachelet, dan diperoleh agensi berita AFP, kelmarin.

Surat itu dikeluarkan ketika Washington memberi amaran mengenai pencerobohan yang akan dilakukan tentera Russia, yang sudah berkumpul berhampiran sempadan Ukraine dan menyatakan Amerika 'sangat prihatin' serta mengingatkan berhubung kemungkinan berlakunya 'malapetaka hak asasi manusia'.

Surat itu menyatakan, Amerika mempunyai 'maklumat boleh dipercayai yang menunjukkan tentera Russia membuat senarai warga Ukraine yang dikenal pasti untuk dibunuh atau dihantar ke kem selepas penguasaan tentera. - Reuters, AFP.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo