NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Umat Islam ditegah terlibat bersihkan rumah ibadat agama lain

PUTRAJAYA – Umat Islam tidak boleh melibatkan diri dalam kerja gotong royong membersihkan rumah ibadat agama lain.
Itu tegas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) bagi mengulas isu tular membabitkan sekumpulan pelajar membersihkan sebuah kuil yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

PMWP berkata, perkara itu dibimbangi boleh menjerumuskan seseorang itu ke dalam kategori membantu ke arah kesyirikan yang sama sekali jelas dilarang dalam Islam.

“Membersihkan rumah ibadat adalah satu bentuk kerjasama atau bantuan yang secara langsung menjurus kepada membantu ritual dan amalan agama lain,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Islam sama sekali tidak menegah umatnya daripada menunaikan hak kemanusiaan lain termasuk membantu orang bukan Islam yang terkesan dengan sebarang musibah atau yang memerlukan bantuan melalui cara lain.

Jelasnya lagi, umat Islam digalakkan membersihkan rumah kediaman dan harta benda orang bukan Islam serta menghulurkan bantuan kewangan dan barangan keperluan.

Menurut PMWP, perbezaan agama tidak menghalang kita daripada berbuat baik kepada sesiapa sahaja atas dasar kemanusiaan.

“Namun demikian, Islam juga menggariskan batas-batas yang perlu dijaga dan dijadikan sempadan bagi memelihara kesucian akidah kita,” katanya.

Sementara itu, PMWP turut menasihatkan masyarakat awam supaya tidak tergesa-gesa menghukum sesuatu perbuatan atau percakapan itu sebagai terkeluar daripada Islam sebaliknya merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa agama.

“Ini bagi mengelakkan fenomena bermudah-mudahan dalam kafir mengkafir sesama umat Islam sehingga mencetuskan huru hara dalam masyarakat,” katanya.

Sumber | K! ONLINE.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo