NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

TunM dilaporkan stabil, beri tindakbalas positif kepada rawatan

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berada di dalam keadaan stabil di Institut Jantung Negara (IJN) dan memberi tindak balas yang baik kepada rawatan.

Anaknya, Datin Marina dalam kenyataan ringkas petang ini, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan, bapanya ditempatkan di IJN sejak Khamis lalu.

"Sejak dua hari lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad dirawat di IJN lanjutan prosedur elektif yang berjaya dilaksanakan pada 8 Januari 2022. Keadaan beliau kini stabil dan memberi tindak balas yang baik kepada rawatan. Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan keluarga memohon agar rakyat mendoakan supaya beliau segera sembuh sepenuhnya," katanya.

Ini kali kedua Dr Mahathir dimasukkan ke IJN dalam bulan ini selepas 7 Januari lalu apabila beliau menjalani prosedur perubatan elektif dan dibenar keluar enam hari kemudian. Pada 16 Disember 2021, beliau turut dimasukkan ke pusat sama untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember.

Terdahulu, pejabat beliau mengesahkan bekas Perdana Menteri dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU) pusat perubatan berkenaan, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Puluhan petugas media turut berada di IJN untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung keadaan Ahli Parlimen Langkawi itu, selain kelihatan sebuah kenderaan dengan jata Istana Negara, namun tidak dapat disahkan sama ada ia mempunyai kaitan dengan kemasukan Dr Mahathir ke pusat perubatan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut menziarahi bekas pemimpin negara itu petang semalam, memaklumkan melalui Twitternya, beliau sempat bertemu Dr Siti Hasmah dan mendoakan supaya keluarga Dr Mahathir kekal tabah berhadapan ujian ketika ini.

Sumber | BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo