NOTIS:

Belum ada lagi....

Tol : Semua perbayaran digital dibenarkan, tiada lagi monopoli TnG

0
PETALING JAYA: Kerajaan dijangka membenarkan orang ramai membayar tol lebuh raya menggunakan mana-mana kaedah pembayaran digital sama ada menggunakan kad bank atau sistem pembayaran atas talian. 

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada kadar kepuasan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan kesediaan syarikat konsesi lebuh raya di negara ini. 

Beliau berkata, syarikat konsesi juga sudah diarahkan untuk bersedia melaksanakan Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) menjelang 2025.

“Tidak lama lagi, ia terpulang kepada orang ramai untuk menggunakan mana-mana kaedah pembayaran digital, sama ada anda mahu guna Touch ‘n Go e-wallet atau kad debit, kad kredit, Visa, Mastercard atau mana-mana sistem pembayaran (elektronik) selagi tersedia di lebuh raya (tertentu),” katanya dalam satu temubual eksklusif seperti yang dilapor portal Free Malaysia Today.

Sistem MLFF merupakan sistem tanpa penghalang, pondok tol dan laluan khusus yang menggunakan struktur gantri yang dilengkapi dengan pengecaman nombor plat secara automatik (ANPR) di lokasi tertentu.

Menurut Fadillah, sistem MLFF adalah faktor utama dalam pelan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) untuk rangkaian lebuh raya masa hadapan. 

Katanya, peringkat perintis ANPR sedang dijalankan di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan pihaknya juga sedang mengkaji cadangan untuk perkongsian awam-swasta atau PFI. 

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tertakluk kepada perbincangan lanjut dengan syarikat konsesi LEKAS dan satu lagi projek perintis di Lebuhraya Besraya tidak lama lagi. 

“Jika kita rasa akan ada sedikit kelewatan oleh beberapa syarikat konsesi lebuh raya, kita mungkin mempertimbangkan model pelaburan swasta atau inisiatif kewangan swasta untuk mengambil alih (sistem MLFF),” tambahnya.

Dalam pada itu, Fadillah turut mengesahkan kad Touch ‘n Go untuk pembayaran tol dijangka ditamatkan pada 2025 dengan laluan Smart Tag bakal dimansuhkan secara berperingkat.

Beliau berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berusaha untuk memudahkan orang ramai menerima kaedah pembayaran secara dalam talian.

“Kita mendengar permintaan orang ramai untuk membuka lebih banyak (pembayaran dalam talian) dan kita sedar dengan rungutan orang ramai bahawa mereka perlu membayar lebih awal untuk Touch ‘n Go sama ada menggunakan (lebuh raya) atau sebaliknya. Kita perlu mengimbangi semua ini (isu),” jelasnya. 

Mengakui pelaksanaan RFID mengalami kelewatan beberapa tahun daripada jadual sepatutnya, Fadillah menegaskan terdapat beberapa elemen yang perlu dimuktamadkan oleh LLM sebelum melancarkan MLFF secara besar-besaran.

“Kita perlu melihat aspek peraturan, prosedur penguatkuasaan, pembangunan prasarana, kadar penembusan RFID dan pelan komunikasi untuk pelaksanaan MLFF,” jelasnya. 

Sumber | UTUSAN ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo