NOTIS:

Belum ada lagi....

Stigma masyarakat halang penagih dadah untuk berubah

Khairy diiringi Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAM), Datuk Dr Christopher Lee (tiga kiri) dan KSU KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah (dua kiri) melawat gerai pameran di perkarangan Klinik Kesihatan Pandamaran. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.


KLANG: Stigma masyarakat kerap menjadi penghalang bagi penagih dadah tampil mendapatkan rawatan dan bantuan profesional untuk keluar daripada kehidupan itu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pendekatan badan bukan kerajaan (NGO) dalam mengubah persepsi masyarakat terhadap pesakit HIV/AIDS perlu diterap kepada mereka yang berdepan isu kesihatan mental dan penagihan dadah.

"Sikap masyarakat banyak menghalang golongan ini tampil mendapat rawatan atau bantuan, mereka (penagih) rasa jika pergi dapatkan bantuan dan mengaku sebagai penagih, ada kesannya seperti ditangkap.

"Dalam pemikiran mereka, masyarakat akan mengeji, malah mereka patut ditangkap dan dipenjara seperti kes remaja curi tabung masjid yang dimalukan sedangkan masyarakat tidak sepatutnya bertindak sedemikian.

"Penagihan perlu dianggap sebagai isu perubatan, sama juga dengan kesihatan mental yang mana pendidikan dan pemahaman lebih lanjut sangat penting," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Mengakhiri AIDS Melalui Kerjasama Pintar GO-NGO Model Klinik Kesihatan (KK) 2.0 peringkat kebangsaan di Klinik Kesihatan Pandamaran di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Mengulas pendekatan NGO membantu individu yang hidup dengan HIV/AIDS, Khairy berkata, pendekatan Majlis AIDS Malaysia (MAM) melalui program itu mengubah persepsi masyarakat terhadap mereka yang hidup dengan HIV/AIDS.

"Menerusi pelancaran inisiatif 2.0, kita bekerjasama dengan NGO ke lapangan dan memberi pendedahan kepada golongan rentan khususnya supaya maklumat berhubung risiko serta kaedah rawatan dapat disampaikan," katanya.

Beliau berkata, program itu membolehkan NGO beroperasi di KK untuk membantu mengukuhkan program pengurangan mudarat kepada pesakit HIV/AIDS.

Katanya, Klinik Kesihatan Pandamaran dipilih untuk melaksanakan program itu dengan kerjasama MAM.

"Malaysia menggariskan pelan 15 tahun mengakhiri AIDS pada 2030 melalui National Strategic Plan in Ending AIDS 2016-2030.

"Insya-Allah, dengan usaha berterusan, saya yakin sasaran ini dapat kita capai secara berperingkat," katanya.

--BH



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo