Rasuah, perlu diadili secara terbuka


Pemimpin terlibat rasuah perlu diadili secara terbuka


KUALA LUMPUR: PAS menolak sebarang bentuk salah laku jenayah termasuk kesalahan integriti membabitkan rasuah.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, berkata para pemimpin yang terlibat dengan jenayah berkenaan perlu diadili secara terbuka di mahkamah.

Menurutnya, pentadbiran kerajaan negeri di bawah PAS seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, wajar dijadikan contoh kepimpinan terbaik yang bebas daripada sebarang jenayah melibatkan integriti.


Ujar beliau, negeri Kelantan yang ditadbir PAS lebih tiga dekad perlu dilihat sebagai role-model dalam mengemudi sebuah kerajaan negeri tanpa isu-isu membabitkan kesalahan rasuah dan sebagainya.

Menurut Khairil lagi, kesalahan integriti membabitkan pemimpin negara wajar dijadikan pengajaran dalam usaha mendidik generasi akan datang.

Justeru katanya, bagi membentuk jati diri anak muda kekal berintegriti, usaha-usaha seperti menerapkan silibus berkaitan salah laku jenayah integriti perlu diwujudkan dalam sistem pendidikan negara.

“Mana-mana pemimpin yang telahpun terbukti bersalah, sepatutnya dikongsikan pengajaran ini di sekolah-sekolah dan di universiti supaya mereka yang keluar daripada pendidikan, tahu yang rasuah ini salah.

“Mana-mana yang terbukti dengan rasuah kita kena masukkan dalam silibus supaya kes-kes berkaitan integriti dan etika dinyatakan dan dimasukkan ke dalam sistem pendidikan agar dapat memberi pendedahan kepada pelajar universiti berkaitan kes-kes yang telah terbukti (bersalah), barulah kita tak buka aib sebab kes dah terbukti (bersalah).

“Kita juga perlu bertindak proaktif kerana kes rasuah ini juga dalam kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) banyak melibatkan anak muda,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini mengulas isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Khairil yang Ahli Dewan Negara juga tidak menolak sebarang cadangan bagi menubuhkan sebarang suruhanjaya atau pasukan penyiasat bebas rentas parti bagi melancarkan lagi usaha pihak tertentu menyiasat isu berkenaan.

Terdahulu, ahli ekonomi, Profesor Dr Edmund Terence Gomez meletak jawatan sebagai ahli panel perundingan SPRM selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi di suruhanjaya berkenaan.

Gomez dalam surat letak jawatannya yang tular di media sosial berkata, timbul persoalan mengenai ‘hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa’ dan situasi ‘konflik kepentingan’ membabitkan pegawai tinggi SPRM serta dakwaan bahawa pegawai itu memiliki saham.

Beliau meletak jawatan sebagai panel SPRM pada 27 Disember lepas, selepas mendakwa aduan dan permintaannya untuk bertemu dan membincangkan isu Azam tidak dipedulikan. – HARAKAHDAILY 5/1/2022


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo