NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PH Negeri Sembilan kemungkinan ubah agihan kerusi PRU15

PORT DICKSON: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan pengagihan kerusi menjelang Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15).
Pengerusinya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu mengambil kira kehadiran kira-kira 5.8 juta pengundi baharu dalam PRU-15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa.

“(PH) di peringkat Pusat juga sedang mengkaji, di peringkat negeri juga kita sedang mengkaji, pastinya akan ada perubahan-perubahan cukup signifikan dalam pengisian calon-calon pilihan raya pada masa depan.

“Itulah (pengundi baharu) yang akan menentukan dan buat perubahan besar dan kita kena ikut cara pengundian yang baharu ini.

“Kalau sebelum ini juga, kita hanya ada dua sistem, satu kerajaan dan satu pembangkang, tetapi apabila wujud undi muda, ia berubah, hari ini macam-macam parti timbul dan membawa pelbagai aspirasi namun tidak menentukan lagi bagaimana pola pengundian pada hari mengundi itu nanti,” kata beliau.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Wanita PH Negeri Sembilan 2022 di sini hari ini.

Sementara itu, Aminuddin berkata, pihaknya sedang bekerja kuat untuk menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi ketika ini bagi sekali lagi mentadbir kerajaan negeri untuk penggal seterusnya.

“PH perlu pertahankan di 20 buah kerusi yang telah dimenangi ketika ini tetapi pada masa yang sama kita bekerja untuk menambah bilangannya di semua tempat.

“Apabila ada pengundi baharu, pengundi muda, kita nampak peluang itu terbuka dan saya berharap semua harus bekerja kuat, kita tidak tahu, tidak boleh mendabik dada.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak adalah berbeza sepenuhnya sebab ia tidak melibatkan pengundi baharu. Tetapi kali ini kita berhadapan dengan mereka yang kita tidak tahu apa dalam minda mereka, apa yang mereka akan pilih dan apakah kecenderungan mereka, ” kata beliau.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo