NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pascabanjir, harga sayur kampung naik


KUALA TERENGGANU: Kekurangan bekalan yang didakwa berpunca daripada banjir menyebabkan harga sayuran kampung naik sejak beberapa minggu lalu. 

Beberapa peniaga berkata harga sayuran kampung seperti kacang panjang, bendi dan bayam naik antara RM3 hingga RM7 sekilogram.


Peniaga Mohd Zubidi Ngah, 32, berkata kebanyakan sayur-sayuran yang dijualnya adalah sayur kampung yang ditanam sendiri pekebun sayur. 

Banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri ini menjejaskan bekalan sayur kampung yang ditanam sehingga menjadi punca kenaikan beberapa jenis sayur sejak kebelakangan ini. 

"Beberapa sayur yang termasuk dalam barang kawalan tidak ada masalah tetapi kita berdepan kenaikan sayur kampung.


"Sebagai contoh, biasanya kacang panjang dijual dengan harga antara RM6 hingga RM7 sekilogram tetapi kini harganya mencecah RM12. Apabila pelanggan mahu membeli, kita akan maklumkan ada kenaikan dan ada antara mereka memang merungut tetapi kami sebagai peniaga juga tersepit," katanya.

Bagi Nora Afiza Mazlan, 30, kenaikan harga barangan keperluan asas biasa berlaku menjelang musim perayaan.

"Setakat ini, bekalan bahan mentah atau sayur-sayur ini mencukupi cuma ada kenaikan sedikit dan kita bimbang harganya akan semakin tinggi menjelang perayaan Tahun Baru Cina nanti," katanya.

Kakitangan kerajaan, Zatini Yan, 38, berkata pengguna yang membeli dengan kuantiti yang sedikit mungkin tidak merasakan kesan akibat kenaikan harga sayuran ini. 

"Saya biasanya beli dalam kuantiti yang sedikit jadi tidak terasa sangat tetapi mereka yang beli dalam jumlah yang banyak akan rasa kesannya. Setakat ini, walaupun ada kenaikan kita tetap akan beli kerana ia adalah barang keperluan asas. Cuma diharapkan harga tidak naik dengan mendadak ketika musim perayaan nanti," katanya. 

Tinjauan NSTP mendapati bekalan sayur-sayuran di beberapa pasar di daerah ini masih mencukupi untuk kegunaan pengguna. Bagaimanapun, peniaga dan pelanggan melahirkan bimbang akan berlaku kenaikan atau kekurangan bekalan ketika Tahun Baru Cina.

—BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo