NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Naikkan tiga peratus gaji minimum untuk 2022

PETALING JAYA: Kadar gaji minimum bagi tahun 2022 perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya tiga peratus daripada kadar RM1,500 yang ditetapkan sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi juga Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, peratusan itu adalah wajar kerana ia berdasarkan kadar inflasi semasa dan indeks harga pengguna (CPI).

Katanya, walaupun majikan masih belum bersedia untuk menaikkan kadar gaji minimum ketika ini kerana terkesan dengan pandemik Covid-19, ia boleh dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

“Kenaikan kadar gaji minimum boleh dibuat berdasarkan pola gaji di bandar-bandar besar, kos sara hidup, kadar inflasi yang ketika ini antara dua ke tiga peratus dan CPI. Jadi, sekurang-kurangnya kadar gaji minimum tiga peratus perlu dinaikkan.

“Implikasinya besar jika kadar gaji minimum tidak dinaikkan buat masa lama, pekerja yang berkeluarga akan menanggung kos sara hidup lebih tinggi apabila anak membesar nanti. Majikan perlu mengambil tanggungjawab, pekerja bertugas bersungguh-sungguh untuk majikan, takkan tidak boleh bertolak ansur, usah berikan seribu satu alasan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) sebelum ini yang mengakui kebanyakan industri negara ini masih belum bersedia untuk menaikkan kadar gaji minimum kerana masih terkesan dengan pandemik sebaliknya dalam proses menstabilkan perniagaan supaya dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menambah pendapatan.

Namun, Kongres Ke­satuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kadar gaji minimum dinaikkan segera kerana semakan kadar itu sepatutnya diadakan dua tahun sekali dan beranggapan kerajaan sudah banyak membantu majikan bagi memastikan mereka kembali ke landasan pemulihan ekonomi seperti sedia kala.

Ketika ini, Majlis Perundingan Gaji Negara dalam proses penyediaan Kertas Jemaah Menteri untuk mengemukakan syor berhubung kadar gaji minimum kepada Kabinet berdasarkan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2020.

Dalam pada itu, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, terdapat implikasi negatif jika kadar gaji minimum dinaikkan dengan mendadak pada tahun ini.

“Kalau berdasarkan kajian Bank Negara, seseorang yang bujang memerlukan pendapatan RM2,500 manakala yang berkeluarga perlukan RM6,000, itu terlalu jauh daripada RM1,500 kadar gaji minimum ketika ini.

“Tetapi jika kadar minimum dinaikkan, pekerja asing yang akan untung kerana mereka dapat gaji sama besar dengan pekerja tempatan, peniaga mikro dan perusahaan kecil dan sederhana terpaksa tutup, malah akan meningkatkan bilangan golongan B40,” katanya.

Justeru, beliau meminta kerajaan supaya membantu majikan meningkatkan pendapatan melalui produktiviti pekerja bagi membolehkan kadar gaji minimum ditingkatkan.

“Majikan perlu meningkatkan produktiviti dengan menjalani latihan kemahiran tetapi ini memerlukan masa dan disiplin, jadi majikan boleh menggunakan teknologi baharu. Walaupun majikan akan mengurangkan pekerja, majikan akan mampu membayar gaji pekerja lebih tinggi.

“Jadi, matlamat kerajaan dan majikan adalah meningkatkan produktiviti bagi meningkatkan lagi gaji dan taraf hidup pekerja,” katanya.

Sumber | UTUSAN ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo