NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Letusan gunung berapi Tonga cetus ‘kerosakan besar’

WELLINGTON: Letusan gunung berapi mega di Tonga yang mencetuskan gempa bumi di bawah laut menyebabkan gelombang tsunami di sekitar Pasifik telah mengakibatkan ‘kerosakan besar’ kepada ibu negara pulau itu yang kini diselubungi debu, namun tahap sepenuhnya tidak jelas susulan komunikasi masih terhalang pada hari Isnin (17 Jan).

Letusan pada Sabtu (15 Jan) begitu kuat itu telah direkodkan di seluruh dunia dan kedengaran sejauh Alaska, mencetuskan tsunami yang membanjiri pantai Pasifik dari Jepun ke Amerika Syarikat.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berkata, ibu negara Tonga, Nuku’alofa mengalami kerosakan besar, namun tiada laporan kecederaan atau kematian tetapi penilaian penuh belum dapat dilakukan susulan talian komunikasi terputus.

“Tsunami telah memberi impak yang ketara di pantai hadapan di sebelah utara Nuku’alofa dengan bot dan batu besar dihanyutkan ke darat,” kata Ardern selepas menghubungi kedutaan New Zealand di Tonga.

Menurutnya, Nuku’alofa kini diliputi debu gunung berapi dan negara itu memerlukan bekalan air kerana awan abu telah menyebabkan pencemaran.

Memetik kenyataan Twitter Angkatan Pertahanan New Zealand, tiada sebarang maklumat mengenai kerosakan di pulau-pulau luar dan New Zealand akan menghantar pesawat peninjau tentera udara sebaik sahaja keadaan atmosfera mengizinkan.

Tonga juga telah menerima tawaran Canberra untuk menghantar penerbangan pengawasan, kata pejabat asing Australia, sambil menambah ia juga segera bersedia untuk membekalkan ‘bekalan kritikal kemanusiaan’.

Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah menjanjikan sokongan, manakala agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata ia sedang menyediakan bekalan kecemasan untuk terbang masuk ke pulau tersebut.

Terdahulu, ombak setinggi 1.2 meter melanda daratan pulau itu hingga ke Nuku’alofa menyebabkan penduduknya bertempiaran lari ke kawasan yang lebih tinggi bagi menyelamatkan diri masing-masing. 

Sumber | Agensi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo