NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keluarga terjejas akibat kebakaran tapak pelupusan terima RM1,000

Ketua Menteri Pulau Pinang melihat gambar dan perkembangan terkini kebakaran tapak pelupusan sampah di Pusat Media Dewan Serbaguna Jawi Foto NSTP/Danial Saad

NIBONG TEBAL: Semua 90 keluarga yang terjejas akibat kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung akan menerima RM1,000 daripada kerajaan negeri.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata, bantuan bencana itu akan diagihkan mulai minggu depan membabitkan 38 keluarga dari Ladang Bryam dan 52 keluarga dari Kampung Kebun Baru.

Mengulas lanjut beliau berkata, 90 keluarga itu diarah mengosongkan kediaman masing-masing sejak Ahad lalu, selepas asap toksik dari tapak pelupusan sampah mengakibatkan pencemaran udara di kampung berkenaan.

"Kita berharap bantuan berjumlah RM1,000 itu dapat meringankan beban penduduk yang diarahkan berpindah sebelum ini.

"Sekurang-kurangnya ia dapat membantu dalam urusan perbelanjaan harian mereka," katanya kepada pemberita, di pusat media, di sini hari ini.

Lebih 16 daripada 49 hektar tapak pelupusan sampah Pulau Burung terbakar sejak petang Rabu lalu.

Rentetan kejadian itu, bahan pencemar di tapak pelupusan itu menjejaskan penduduk di Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru sehingga mengakibatkan kira-kira 400 penduduk di situ terpaksa dipindahkan.

Selain itu, sebanyak 10 sekolah dalam radius 10 kilometer (km) dari tapak pelupusan, juga diarah tutup selama tiga hari.

Tapak pelupusan sampah Pulau Burung diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada masa sama, Kon Yeow berkata, sembilan daripada 10 sekolah itu yang diarah tutup sebelum ini akan dibuka semula pada Isnin.

Beliau berkata, bagaimanapun Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (T) Ladang Byram, yang terletak berhampiran dengan tapak pelupusan sampah, masih ditutup.

Katanya, sembilan buah sekolah itu ialah SJK (T) Ladang Changkat, SJK (T) Nibong Tebal, SJK (C) Pai Teik, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa, SK Keledang Jaya, SK Nibong Tebal, SK Methodist, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong dan SMK Methodist.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kebun Baru, Jamil Mohamad, 42, berkata mereka bersyukur dengan bantuan bencana RM1,000 itu.

Namun beliau berkata, pihaknya khuatir nasib peniaga yang tidak dapat meneruskan operasi buat masa ini.

Justeru katanya, beliau meminta pihak berkuasa untuk membantu golongan peniaga ini dalam meneruskan kelangsungan hidup.

"Tidak dinafikan, bantuan bencana RM1,000 amat berguna untuk mereka yang dipindahkan.

"Namun, bagaimana dengan keadaan perniagaan yang tidak dapat beroperasi sekarang? Ramai penduduk di Kampung Kebun Bunga menjalankan perniagaan makanan manakala ada yang menjalankan kedai runcit.

"Mereka datang kepada saya untuk menyuarakan kebimbangan mereka kerana mereka mempunyai sewa untuk perkhidmatan, bil untuk dibayar dan mulut untuk memberi makan," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo