NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kaji semula kebenaran guru berpolitik - Lee Lam Thye


KUALA LUMPUR: Kebenaran guru sekolah dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh negara untuk berpolitik adalah satu yang drastik dan tidak sesuai memandangkan tugasan hakiki guru kini sudah cukup membebankan.

Aktivis Sosial, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata keputusan itu perlu dikaji semula atau dibahaskan di peringkat Parlimen kerana tugas guru untuk menggalas tugas pendidik dalam masa sama sebagai ahli politik boleh memberi kesan kepada masa depan anak bangsa.

Katanya, ia perlu dikaji kerana implikasi daripada keputusan itu boleh memberi kesan kepada semua pihak termasuklah generasi masa depan.

"Tugas seorang guru di bilik darjah menuntut pelbagai cabaran ditambah lagi negara berdepan dengan pandemik COVID-19 yang memberi impak kepada semua lapisan masyarakat terutama sistem pendidikan negara.

"Apabila guru dibenarkan terbabit dalam bidang politik, ini boleh mewujudkan situasi tegang dan menjejaskan kualiti pendidikan sekiranya mereka gagal membahagikan antara tugasan hakiki dan politik," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam mengumumkan guru sekolah di seluruh negara dan petugas KEMAS dibenarkan untuk berpolitik, berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu diputuskan Kabinet bagi menghormati prinsip demokrasi, memandangkan sebelum ini golongan berkenaan dilarang untuk berpolitik.

Sebelum ini, menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bil 9 Tahun 2010 hanya membenarkan guru gred DG41 hingga DG48 aktif dalam bidang politik, namun perlu mendapatkan kebenaran rasmi daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan kerana terdapat beberapa syarat yang ditetapkan sebagai penjawat awam.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, implikasi kebenaran guru berpolitik boleh memberi kesan dalam sistem pendidikan negara yang sepatutnya memberi fokus melahirkan generasi masa depan cemerlang dan berkualiti tinggi.

Katanya lagi, pembabitan aktif seorang guru dalam politik boleh mencetuskan konflik antara rakan seperjuangan, pentadbir dan sekiranya tiada kefahaman sama antara mereka.

"Implikasi ini memberi kesan jika ada guru yang gagal mengawal emosi akibat pengaruh politik yang kuat.

"Saya berharap perkara ini dapat ditimbang semula memandangkan kita bukanlah terhad masa atau keperluan golongan guru untuk berpolitik," katanya.

Pada masa sama, beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, berharap jika keputusan itu diteruskan, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) meletakkan garis panduan konsisten dalam usaha memastikan tiada isu bertentangan membabitkan sekolah dan pelajar.

"Guru yang mahu aktif berpolitik perlu mengikut syarat dan kriteria yang digariskan oleh pihak berkenaan serta perlu dipatuhi.

"Garis panduan perlu jelas dan menjadi sempadan sejauh mana guru boleh berpolitik tanpa menganggu tugasan hakiki mereka sebagai individu yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu kepada anak bangsa.

"Ini juga adalah bagi mengelakkan sebarang isu dan permasalahan luar jangka membabitkan guru, pentadbir, ibu bapa dan pelajar terutama membabitkan pengaruh politik," katanya yang berharap keputusan itu dapat dikaji semula.

Sumber | BH Online 




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo