NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

FAM perlu pastikan usaha guna khidmat jurulatih luar berbaloi


SETELAH hampir dua minggu berlalu akhirnya Tan Cheng Ho mengambil tanggungjawab mengundur diri sebagai pengendali skuad Harimau Malaya susulan kegagalan skuad bimbingannya itu melangkah ke saingan separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura baru-baru ini.

Cheng Hoe dikritik hebat peminat bola sepak tanah air susulan aksi lesu yang dipamerkan Harimau Malaya ketika tewas 1-4 di Stadium Nasional, Singapura di tangan Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan B.

Kegagalan skuad negara melepasi saingan peringkat kumpulan sekali gus dinafikan sasaran untuk mara ke pentas final sememangnya mengecewakan banyak pihak, apatah lagi Harimau Malaya turun pada edisi kali ini dengan reputasi selaku naib juara 2018.

Namun hakikatnya, peminat harus memahami memang bukan mudah untuk menjuarai Piala Suzuki AFF. Berdasarkan rekod, Malaysia hanya muncul sekali sebagai juara iaitu pada 2010 dan naib juara tiga kali pada edisi 1996, 2014 dan terakhir 2018.

Tidak banyak yang dapat dilakukan Cheng Hoe sepanjang mengendalikan skuad negara sejak Disember 2017, selain kejayaannya membantu Malaysia meraih gelaran naib juara Piala AFF Suzuki edisi 2018 serta beberapa aksi sengit yang membanggakan ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia dan Vietnam pada kelayakan Piala Dunia dua tahun lalu.

Namun, dengan rekod memimpin Harimau Malaya mengharungi 40 perlawanan dengan mencatat 20 kali kemenangan, 16 kalah dan empat seri, ia boleh dianggap sebagai pencapaian yang sederhana dan tidak terlalu buruk sehingga jasanya dilupakan begitu sahaja.

Cadangan beberapa pihak supaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) lebih terbuka dalam pemilihan jurulatih dengan mengikut trend bola sepak rantau Asia Tenggara masa kini yang menggunakan khidmat jurulatih dari Korea Selatan dan Jepun perlu dilihat dengan teliti. Tidak semudah itu untuk mendapatkan khidmat mereka.

Beberapa aspek perlu diambil kira, terutama harga tinggi perlu dibelanjakan selain kemajuan yang positif. Jurulatih Vietnam, Park Hang Seo misalnya dikatakan menerima gaji yang lumayan sehingga mencecah RM230,000 sebulan dengan separuh daripadanya ditanggung oleh Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) manakala, bakinya dibayar oleh pengurus atau naib presiden skuad berkenaan.

Dengan mengambil kira contoh itu, satu persoalan timbul iaitu mampukah FAM menyediakan atau mencari dana sebegitu besar dan apakah akan ada syarikat korporat yang sudi membantu FAM merealisasikan hasrat berkenaan?

Seperti diketahui umum, beberapa pasukan yang menyertai kejohanan Piala Suzuki AFF kali ini seperti Vietnam dan Indonesia menggunakan khidmat jurulatih dari Korea Selatan, sementara Kemboja dan Singapura pula menggunakan khidmat jurulatih dari Jepun.

Namun, harus diingat prestasi Kemboja tidak ke mana, malah mudah ditumpaskan skuad Malaysia 3-1 di kejohanan itu.

Apapun, tidak ada salahnya untuk FAM mengambil khidmat jurulatih dari luar bagi memperkuatkan skuad kebangsaan sekiranya berkemampuan untuk berbelanja.

Namun perlu dipastikan mereka yang dipilih itu benar-benar berkelayakan serta mempunyai pencapaian yang baik pada peringkat antarabangsa. Usah lagi melantik jurulatih luar secara tangkap muat seperti yang dianggap oleh sesetengah pihak sebelum ini. Walau bagaimanapun, kegagalan meraih kejayaan di Piala Suzuki AFF kali ini tidak seharusnya dilihat dari satu sudut sahaja. Amat tidak wajar untuk menyalahkan Cheng Hoe semata-mata sedangkan kejayaan sesebuah pasukan bergantung kepada koordinasi yang baik dari semua peringkat serta prestasi semasa pasukan.

Beberapa faktor kegagalan skuad negara di kejohanan kali ini yang menjadi perdebatan hangat di pelbagai media oleh peminat bola sepak serta pemerhati sukan tanah air perlu diambil perhatian sewajarnya.

Masalah pemilihan pemain, persiapan yang singkat serta pemain tidak cukup minit permainan antara faktor yang menyumbang kepada kepincangan skuad negara kali ini.

Berbanding Indonesia yang melakukan persiapan di luar negara, Harimau Malaya langsung tidak berpeluang menjalani sebarang aksi persahabatan kerana dikumpulkan secara berperingkat berpunca dari jadual padat Piala Malaysia.

Sesebuah skuad yang mantap seharusnya dipersiapkan sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal sebelum menyertai sebarang kejohanan demi mendapatkan keserasian dan persefahaman yang baik dalam kalangan pemain.

Kini, mahu tidak mahu skuad kebangsaan harus dipersiapkan dengan rapi menjelang aksi pusingan kelayakan Piala Asia 2023 nanti bagi mengelakkan reputasi yang lebih buruk.

Kesilapan dan kegagalan di Singapura harus ditebus bagi mengembalikan keyakinan peminat bola sepak tanah air yang dahagakan kemenangan.

Putrajaya




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo