NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dell Akbar ketuai bedah siasat Harimau Malaya




Kuala Lumpur: Bagi memastikan kelemahan di Piala AFF di Singapura tidak berulang lagi sekali gus penambahbaikan mampu dilaksanakan secara total, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah bijak apabila menubuhkan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya.

Ia diumumkan sendiri Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin di mana individu yang dilantik adalah pakar dan tokoh dari luar badan induk itu bagi memastikan hasil bedah siasat laporan prestasi pasukan kebangsaan telus dan lengkap.

Jelas Hamidin, beliau melantik bekas pemain kebangsaan yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan untuk mengetuai badan siasatan bebas itu, dengan Dell Akbar diberi mandat untuk melantik beberapa individu lain bagi menganggotai badan berkenaan.

Katanya, tugas utama badan bebas itu untuk melakukan bedah siasat terlebih dahulu terhadap laporan dan analisis lengkap daripada barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan mengenai prestasi Harimau Malaya sepanjang kempen di Singapura, tempoh hari yang sudah pun siap dan diserahkan kepada Sekretariat FAM, baru-baru ini.

"Hasil bedah siasat daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya ini seterusnya akan dibentangkan Datuk Dell Akbar bersama langkah penambahbaikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM untuk dibincangkan," katanya.

Ketika ini difahamkan, Hamidin berada di luar negara kerana perlu menyelesaikan urusan penting keluarga namun beliau tetap mengumumkan penubuhan badan siasatan bebas itu.

Pada kempen Piala AFF bulan lalu, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas baki dua perlawanan Kumpulan B selepas itu kepada Vietnam 3-0 dan Indonesia 4-1, sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir.

Ekoran kegagalan itu, Cheng Hoe mengumumkan peletakan jawatannya Isnin lalu sebagai mengambil rasa tanggungjawab di atas keputusan mengecewakan itu.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo