NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Berhenti sebarkan video mandikan remaja

Remaja yang videonya tular di media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung masjid (berbaju-T biru), dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, semalam. - Foto fail BERNAMA

SHAH ALAM: Masyarakat diminta tidak menyebarkan video seorang imam dan sekumpulan jemaah sebuah masjid di Selangor memandikan seorang remaja seperti 'jenazah' kerana cuba mencuri tabung masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, berkata penyebaran video itu tidak membawa sebarang kebaikan kepada kedua-dua pihak, malah mengundang kutukan daripada masyarakat dengan pelbagai komen negatif.

"Selain menjatuhkan maruah remaja terbabit, ia juga memberi persepsi buruk mengenai sikap pengurusan institusi masjid," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, tindakan sewajarnya sudah diambil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebaik menerima maklumat sahih mengenai perkara itu.

"Saya difahamkan imam terbabit mengambil tindakan meletakkan jawatan dan JAIS sedang meneliti perkara ini untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau juga meminta masyarakat khasnya umat Islam di Selangor, supaya bertenang dan tidak mengambil pendekatan agresif dalam menangani apa-apa isu dan kes berkaitan institusi Islam.

"Biarlah pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka mengikut lunas undang-undang.

"Masyarakat perlu membantu pihak berkuasa untuk menyempurnakan tugas dan bukannya mengambil alih tugas pihak berkuasa," katanya.

Video berdurasi satu minit 25 saat itu memaparkan tindakan jemaah masjid memandikan remaja itu seperti jenazah dan dia dilumurkan dengan kapur barus selepas ditangkap.

Remaja itu dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, dekat sini, semalam. – BERNAMA




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo