NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Allah melaknat mereka yang tebang hutan, binasa kehidupan rakyat


KANGAR: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan perbuatan menebang hutan sehingga membinasakan kehidupan rakyat adalah jenayah dunia dan akhirat.

Beliau berkata perbuatan itu dilaknat Allah SWT dan terdapat hadis Rasulullah SAW yang memberi amaran kepada penebang pokok yang menjadi teduhan orang ramai.

"Baginda memberitahu sesiapa yang melakukan hal itu maka Allah akan merendahkan atau merendam kepalanya ke dalam neraka.

"Daripada Aishah, Baginda SAW bersabda sesiapa yang memotong pokok bidara maka Allah merendahkan (menekan) kepalanya dalam neraka" (Riwayat Abu Daud, al-Nasai dalam al-Kubra, al-Baihaqi dll Hadis sahih).

"Selain itu, Al-Imam Abu Daud al-Sijistani iaitu empunya Sunan Abi Daud, ketika ditanya maksud hadis ini, beliau berkata bahawa hadis ini diriwayatkan secara ringkas yang bermaksud sesiapa dengan sia-sia (tiada alasan yang sah) dan zalim tanpa alasan yang benar memotong pokok bidara di tanah lapang yang mana pengembara dan binatang selalu berteduh di bawahnya, maka Allah merendahkan (menekan) kepalanya ke dalam neraka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan dipetik daripada laman web Jabatan Mufti Negeri Perlis hari ini.

Mohd Asri berkata hadis yang memberikan amaran dahsyat sebegini menunjukkan perbuatan yang dilarang itu termasuk sebagai al-Kabair iaitu dosa besar.

Beliau berkata, sesiapa yang memusnahkan tempat perlindungan bagi manusia dan haiwan ketika sangat memerlukan tanpa alasan benar termasuk dalam kalangan mereka yang sangat jahat.

"Bagaimanakah pula bagi mereka yang menebang pokok secara rakus sehingga berlaku bencana sehingga menyebabkan manusia kehilangan dan kemusnahan rumah dan tempat tinggal.

"Perbuatan ini bukan sekadar manusia yang hilang tempat berteduh di luar rumah, malah ia menyebabkan manusia juga hilang rumah, sekolah, tempat kerja, masjid, rumah ibadah dan pelbagai lagi.

"Bukan sekadar musafir sahaja yang melakukan perjalanan, bahkan manusia yang tinggal tetap di situ sejak sekian lama kehilangan segala-galanya dan apakah lagi kedajalan dan kejahatan yang lebih besar daripada itu," katanya.


--BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo