NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

7 Herba Diperakui Sains Boleh Turunkan Darah Tinggi

 
Masalah hipertensi atau tekanan darah tinggi merupakan sejenis penyakit kronik yang lazim dialami oleh rakyat Malaysia.

Jika ia tidak dirawat dan dibiarkan melarat, masalah hipertensi boleh menyebabkan penyakit kronik yang lebih serius seperti masalah jantung.

Selain daripada ubat-ubatan yang dipreskripsikan oleh doktor, terdapat juga beberapa herba yang boleh membantu pesakit hipertensi untuk menguruskan tekanan darah mereka.

Penting untuk penulis ingatkan, herba ini bukanlah pengganti kepada ubat yang diberikan oleh doktor.

Jika anda mendapat preskripsi ubat, ambil mengikut nasihat doktor.

#1 Daun selasih, berkesan merawat tekanan darah tinggi

Daun selasih merupakan salah satu herba berperisa yang mengandungi pelbagai kompaun antioksida seperti eugenol.

Selain daripada menghindarkan individu daripada kanser, kompaun boleh memberikan kawalan tekanan darah yang lebih baik kepada pesakit.

Kajian sains telah menemui kebolehan eugenol untuk mengawal tekanan darah melalui saluran kalsium manusia.

Apabila kalsium tidak boleh masuk ke dalam sel arteri dan jantung, salur darah manusia boleh mengembang seterusnya menurunkan tekanan darah.

#2 Pasli, kaya dengan vitamin C dan pigmen antioksida karotenoid

Pasli merupakan herba yang sering digunakan oleh mereka yang mendiami benua Amerika, Eropah dan Timur Tengah.

Ia mengandungi pelbagai jenis kompaun bermanfaat termasuklah vitamin C dan karotenoid yang boleh mengawal tekanan darah.

Terdapat kajian yang menunjukkan kebolehan karotenoid menurunkan faktor risiko penyakit jantung seperti masalah hipertensi dan paras lipoprotein berketumpatan rendah (LDL).

Seperti daun selasih, pasli juga boleh menurunkan tekanan darah dengan mengawal saluran kalsium di dalam badan manusia.

#3 Biji saderi, padat dengan nutrien mikro
masalah hipertensi
Biji saderi sering digunakan sebagai rempah dalam pelbagai jenis masakan.

Ia kaya dengan pelbagai jenis nutrien mikro seperti zat besi, magnesium, manganese, kalsium dan serat.

Kajian menggunakan tikus makmal menunjukkan, biji saderi berupaya untuk menurunkan masalah hipertensi yang dialami.

Sama seperti herba sebelum ini, mekanisme tindakannya tertumpu kepada saluran kalsium.

Tambahan pula, biji saderi mempunyai kandungan serat yang agak tinggi. Ia boleh memberikan kawalan tekanan darah yang lebih baik kepada pesakit.

#4 Cakar kucing, herba tradisi cina dengan pelbagai jenis kebaikan

Jika anda familiar dengan selok-belok perubatan cina, anda pasti tahu akan herba cakar kucing cina (uncaria rhynchophylla).

Ia berbeza dengan herba cakar kucing (uncaria tomentosa) walaupun mempunyai nama dan rupa yang lebih kurang sama.

Kajian sains menunjukkan ia merupakan penghalang saluran kalsium semula jadi yang boleh mengawal tekanan darah dengan lebih efektif.

Tambahan pula, cakar kucing cina turut mempunyai kompaun yang boleh merangsang penghasilan nitrik oksida bagi mengembangkan saluran darah.

#5 Bacopa monnieri, herba yang berkesan mengawal masalah hipertensi

Tumbuhan ini kebiasaannya boleh ditemui di kawasan paya di Asia Selatan.

Pengamal perubatan Ayurvedik menggunakan herba ini untuk merawat pelbagai jenis penyakit seperti keresahan, isu berkaitan memori dan tekanan darah tinggi.

Kajian terhadap haiwan menunjukkan dapatan yang positif.

Walau bagaimanapun, kajian terhadap 54 manusia sihat hanya menunjukkan penambahbaikan pada aspek seperti memori, anti keresahan dan anti murung.

Ia tidak menunjukkan dapatan yang signifikan pada tekanan darah.

Kajian lanjut perlu dilakukan untuk mengesahkan dapatan tersebut.

#6 Bawang putih, lancarkan aliran darah dan hindar hipertensi
Bawang putih merupakan bahan asas yang sering digunakan dalam masakan seharian.

Ia mengandungi kompaun berasaskan sulfur seperti allicin yang boleh meningkatkan aliran darah dan mengembangkan salur darah.

Tinjauan terhadap 12 kajian yang melibatkan lebih daripada 550 subjek hipertensi menunjukkan, bawang putih boleh menurunkan tekanan darah pada purata 8.3 mmHg (sistolik) dan 5.5 mmHg (diastolik).

Terdapat juga kajian yang menunjukkan penggunaan ekstrak bawang putih (600-1,500 mg) dalam kalangan 30 subjek boleh menurunkan tekanan darah sama seperti jika mereka dipreskripsikan dengan ubat hipertensi, Atenolol.

#7 Kayu manis, mampu rawat masalah hipertensi

Kayu manis adalah rempah beraroma yang berasal daripada kulit kayu pokok.

Ia telah digunakan sebagai herba untuk rawatan penyakit jantung sejak berkurun lamanya.

Tinjauan terhadap 9 kajian saintifik yang melibatkan 641 subjek menunjukkan, kayu manis boleh menurunkan tekanan darah pada purata 6.2 mmHg (sistolik) dan 3.9 mmHg (diastolik).

Kesan ini lebih signifikan bagi mereka yang mengambil kayu manis setiap hari selama 12 minggu.

Tambahan pula, pengambilan kayu manis oleh mereka yang mendapat komplikasi hipertensi akibat penyakit kronik seperti kencing manis turut menunjukkan trend penurunan.

Seperti herba yang lain, kayu manis boleh mengembangkan salur darah seterusnya menyebabkan penurunan tekanan darah.

Konklusi

Walaupun ada herba yang jelas boleh memberikan kebaikan kepada masalah hipertensi, lebih baik jika anda rujuk kepada doktor terlebih dahulu.

Sekiranya tiada kontraindikasi, anda boleh mengambilnya bersama dengan ubat seperti yang dinasihatkan oleh doktor.



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo