NOTIS:

Belum ada lagi....

525 pelajar positif COVID-19, 15 sekolah di Kedah ditutup

0

ALOR SETAR: Kes positif COVID-19 membabitkan kluster pendidikan di negeri ini, dianggap membimbangkan apabila seramai 525 pelajar dan 25 guru disahkan dijangkiti setakat ini.

EXCO Pendidikan, Agama dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad, berkata jumlah itu adalah membabitkan lapan kluster pendidikan yang dikesan di seluruh negeri menyebabkan 15 sekolah terpaksa ditutup.


Katanya, berikutan itu kerajaan negeri meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dan pihak pengurusan sekolah meningkatkan pemantauan termasuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dipatuhi.

"Saya hendak ingatkan di Kedah ada 15 sekolah terjejas akibat COVID-19 membabitkan 525 pelajar, saya harap semua sekolah dapat beri perhatian usaha meningkatkan tahap pematuhan SOP masing-masing.

"Ini amat membimbangkan kerana banyak kes berlaku di asrama sekolah harian yang terbuka, jadi harap mereka pertingkat pelaksanaan SOP di sekolah," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.


Terdahulu beliau menghadiri Majlis Pelancaran Intervensi Meningkatkan Pencapaian Aspirasi Kecemerlangan (IMPAK) SPM 2021. 

Yang turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri, Rozaini Ahmad.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan kes positif COVID-19 membabitkan pelajar sekolah antaranya di Daerah Pendang, Kulim, Kubang Pasu, Yan dan Kuala Muda.

Mengulas lanjut, Najmi berkata, secara keseluruhan kes jangkitan COVID-19 di sekolah masih dalam keadaan terkawal dan ibu bapa diharap tidak terlalu bimbang.

"Bagi 15 sekolah yang ditutup, ia membabitkan 13 sekolah harian berasrama dan dua sekolah harian biasa. Semua pelajar yang positif dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) seperti di Dewan Wawasan Jitra.

"Keadaan keseluruhan adalah terkawal, namun kita tidak menolak kemungkinan menutup lagi sekolah bergantung kepada situasi semasa," katanya.

Sementara itu, Rozaini memaklumkan, seramai 162 daripada kira-kira 30,400 guru di negeri ini masih menolak mendapatkan vaksin COVID-19 disebabkan pelbagai faktor antaranya masalah kesihatan selain ada yang belum bersedia.

"Guru terbabit masih ke sekolah, tetapi diasingkan. Mereka tidak mengajar secara bersemuka, tetapi menjalankan tugas menyediakan modul pembelajaran dan turut mengajar dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Pada masa sama, kita terus cuba pujuk dan nasihat mereka agar mengambil segera vaksin berikutan terdapat SOP dalam bidang pendidikan," katanya.

Sumber | BH Online 


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo