NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

4,138 mangsa banjir masih di PPS


KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di negeri terjejas semakin pulih dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) terus menurun.

Setakat petang tadi, seramai 4,138 mangsa banjir daripada 1,171 keluarga masih ditempatkan di 58 PPS di tiga negeri yang dilanda bencana itu.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, Johor mencatatkan angka mangsa banjir tertinggi yang ditempatkan di PPS, iaitu seramai 3,529 orang, membabitkan 997 keluarga di 49 PPS.

Ia diikuti Melaka, membabitkan 369 mangsa daripada 99 keluarga, ditempatkan di tiga PPS, manakala di Pahang, seramai 240 mangsa banjir daripada 75 keluarga ditempatkan di enam PPS.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata Segamat masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi diikuti Muar, Tangkak dan Batu Pahat.

Beliau turut mengingatkan semua penduduk supaya sentiasa berwaspada berikutan lima sungai mencatatkan aras bahaya iaitu Sungai Muar di Liang Batu, Sungai Muar di Panchor, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat; Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar; dan Sungai Endau di Kampung Labong, Mersing.

Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra, berkata mangsa banjir di negeri itu menurun kepada 369 orang daripada 99 keluarga petang ini berbanding 389 orang daripada 105 keluarga, semuanya di tiga PPS di Jasin.

Selain itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan aras air di Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang di Maran, Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub dan Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong kekal melepasi tahap waspada petang ini.


--BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo