NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tindakan Peter bukan perkara yang mengejutkan: Shafie




KOTA KINABALU: Keputusan bekas Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Peter Anthony keluar parti atas alasan Sabah sepatutnya ditadbir oleh parti politik tempatan bercanggah dengan tindakannya sendiri.

Presiden WARISAN Datuk Seri Pangliam Mohd Shafe Apdal berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu menyatakan akan menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai oleh seorang ahli parti nasional Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Justeru katanya, keputusan kerajaan GRS ditentukan oleh ketua parti di peringkat nasional.

Menurutnya, tindakan itu juga bukan satu perkara yang mengejutkan, malah bersimpati kerana Peter sudah beberapa kali menyatakan hasrat berkenaan berikutan kes mahkamah yang dihadapinya.

"WARISAN kekal kukuh dan berpegang kepada nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada perjuangan parti untuk membela nasib seluruh rakyat di negara ini khususnya di Sabah.


ADVERTISEMENT


"Sebagai sebuah parti yang mewakili pelbagai kaum dan agama, WARISAN tidak mengambil pendirian parokial yang hanya tertumpu kepada satu kaum sahaja. Ini adalah hala tuju WARISAN.

"Marilah kita bersama membina satu negara, tanpa mengira bangsa dan agama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan, WARISAN lantang bersuara memperjuangkan hak-hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sehinggalah pindaan perlembagaan dilaksanakan baru-baru ini untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung.

Malah jelasnya, WARISAN akan terus berjuang untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan hak-hak Sabah dan Sarawak yang belum lagi dikembalikan seperti pengagihan kekayaan yang saksama, kadar royalti minyak yang lebih baik dan hak wilayah Sabah ke atas pelantar benua.

"Alasan untuk keluar parti kerana WARISAN tersasar dari perjuangan asal, hanya kerana melebarkan sayap ke Semenanjung, adalah tidak benar.

"Pada Mesyuarat Majlis Tertinggi sebelum ini dan Perhimpunan Agung Tahunan WARISAN (2020) pada 12 Disember lalu, seluruh Ahli Majlis Tertinggi dan ahli parti menyokong penuh langkah itu pada perhimpunan berkenaan.

"Keputusan untuk melebarkan WARISAN ke Semenanjung adalah satu langkah untuk menawarkan satu lagi pilihan kepada semua pengundi di Malaysia," katanya.

Shafie berkata, pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Sarawak, jumlah rakyat yang keluar mengundi hanya sekitar 60 peratus, satu kadar yang rendah.

Sehubungan itu katanya, ia menunjukkan ramai pengundi mahukan pilihan parti yang lebih baik yang mampu membawa perubahan untuk kebaikan negara dan rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan Peter untuk menubuhkan sebuah lagi parti pelbagai kaum yang bekerjasama dengan GRS hanya akan memecah-belahkan lagi rakyat Sabah dan masyarakat di pedalaman.

Selain itu jelasnya, tindakan ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim keluar parti juga mendukacitakan kerana terpengaruh dengan Peter yang menyebabkannya mengambil keputusan tergesa-gesa.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo