NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rosmah gagal gugur Sri Ram, batal kes rasuah solar hibrid


Rosmah Mansor sekali lagi gagal membatalkan kes rasuah melibatkan projek tenaga solar hibrid di pedalaman Sarawak bernilai RM1.25 billion dan turut gagal menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa dalam kes tersebut.

Ia selepas panel tiga hakim diketuai hakim Hanipah Farikullah yang bersidang bersama-sama M Gunalan dan Hashim Hamzah sebulat suara membenarkan bantahan awal dikemukakan pihak pendakwaan pada 15 November lalu.

Hanipah berkata hakim bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa mahkamah jenayah tidak mempunyai bidang kuasa memberikan relief perisytiharan yang dimohon Rosmah.

“Selepas meneliti dan mempertimbang hujahan serta nas perundangan dikemukakan, kami mendapati bantahan kedua ditimbulkan oleh responden adalah isu perundangan yang menyentuh merit dan bidang kuasa mahkamah perlu diputuskan terlebih dahulu.

“Kami dapati relif yang dimohon adalah berbentuk pengisytiharan (deklarasi). Kami berpendapat bahawa relif dimohon mestilah tergolong dalam perkara yang dibenarkan oleh Kanun Tatacara Jenayah. Bagaimanapun tiada peruntukan didalam akta tersebut memberikan kuasa kepada mahkamah untuk membuat keputusan berbentuk pengisytiharan,” kata Hanipah.

Rosmah hari ini merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 September yang menolak permohonannya untuk membatalkan kes itu.

Permohonan itu dibuat atas dakwaan surat pelantikan bekas hakim Mahkamah persekutuan Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes rasuah itu tidak sah.

Rosmah diwakili oleh Akberdin Abdul Kader dan Jagjit Singh.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Rizal Mansor.

Ia sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Sumber : Malaysianow


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo