NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Persiapan Harimau Malaya masuk fasa akhir




PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe teruja menantikan penampilan tujuh pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan dua tonggak Kuala Lumpur (KL) City FC yang akan mula mengikuti kem latihan pusat pada Rabu.


Menurut Cheng Hoe, kehadiran kelompok terakhir itu akan memudahkan barisan kejurulatihan memperkemas skuad Harimau Malaya sebagai persiapan akhir menjelang saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura nanti.


Namun, Cheng Hoe tetap melahirkan sedikit kerisauan terutamanya mengenai tahap kecergasan dua pemain tengah kental KL City - Kenny Palraj dan Akram Mahinan yang terpaksa mengharungi jadual padat.


“Kalau lihat Kenny dan Akram, mereka menjadi antara tonggak utama KL City dalam Piala Malaysia. Malah, mereka juga dijangka menjadi sandaran KL City pada aksi final Piala Malaysia.


“Jadi kita akan lihat tahap kecergasan mereka dan akan memberi program yang sepatutnya. Saya juga berharap mereka tidak berdepan dengan masalah kecederaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.


Buat pertama kali, Cheng Hoe dijangka dapat mengumpulkan kesemua pemain yang dipilih bagi mengikuti kem latihan pusat pada Rabu bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2020 yang bermula 5 Disember ini.


Sebelum ini, dua kelompok melibatkan 15 pemain telah melaporkan diri pada kem latihan pusat Fasa 1 dan 2 dengan masing-masing mula berlatih pada 22 dan 28 November lalu.


Bagaimanapun, Cheng Hoe terpaksa membuat keputusan menggugurkan penyerang PJ City FC, Darren Lok yang mengalami kecederaan otot pada bahagian perut.


Bagi empat pemain yang berpangkalan di luar negara - Junior Eldstal, Dominic Tan, Luqman Hakim Shamsudin dan Dion Cools, mereka akan melaporkan diri mengikut tarikh pelepasan yang diberikan kelab masing-masing.


Dalam pada itu, Cheng Hoe berkata, beliau yakin dengan keupayaan tujuh pemain JDT biarpun mereka jarang berada dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan.


“Saya tidak lihat ia sebagai satu masalah besar kepada pasukan. Pemain-pemain yang saya pilih kali ini sudah mempunyai pengalaman bersama pasukan kebangsaan sebelum ini.


“Seperti yang selalu saya katakan sebelum ini, aspek kecergasan itu amat penting. Jadi dalam beberapa hari sebelum ke Singapura, saya dan barisan jurulatih akan memberi fokus terhadap aspek itu,” ujarnya.


Tujuh pemain JDT yang dipanggil mengikuti kem latihan pusat Harimau Malaya kali ini ialah Aidil Zafuan Abd Radzak, Syahrul Saad, Safawi Rasid, Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid serta dua tonggak naturalisasi - Mohamadou Sumareh dan Guilherme De Paula.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo