NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

NGO gesa Kerajaan, siasat bencana banjir lumpur campur batang kayu hanyut


KUALA LUMPUR: Sebanyak 45 badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan hari ini menggesa kerajaan mengadakan siasatan bebas serta mengambil tindakan segera terhadap mereka yang mungkin bertanggungjawab dalam kejadian bencana banjir lumpur bercampur batang kayu hanyut di pekan Karak di Bentong, minggu lalu.

Antara NGO berkenaan adalah Alliance of River Three, Angkatan Belia Islam Malaysia, Belia di Bawah Bayu,Caring Asian Women (CAW), Centre for independent journalism (CIJ), Centre for Orang Asli Concerns (COAC), CERAH - Anti Haze Action, Environmental Protection Society Malaysia (EPSM), Five Arts Centre, Friends of Bukit Kiara, Friends of Klang River Basin, Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY), Global Environment Centre dan Global Water Partnership.

Turut bersama adalah Greenpeace Malaysia, .Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI), Malaysian Nature Society (Cawangan Pahang dan Selangor), North South Initiative, Parti Sosialis Malaysia, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK), Persatuan Benih Hijau, Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Persatuan Kesedaran dan Keadilan Iklim Malaysia (Klima Action Malaysia KAMY), Persatuan Sahabat Wanita Selangor dan Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat.

NGO berkenaan berkata insiden itu mengakibatkan kerosakan ratusan rumah di beberapa kampung dan meragut hampir 10 nyawa setakat ini

"Walaupun kami memuji tindakan pantas dalam menyelamatkan dan membantu mangsa banjir, pembersihan namun kami 45 organisasi seperti percaya bahawa masih terdapat keperluan dalam pendekatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu terhadap pencegahan, mitigasi dan kesiapsiagaan dalam menghadapi banjir.

"Walaupun perubahan iklim dikenal pasti sebagai salah satu faktor penyumbang, terdapat faktor-faktor lain yang memerlukan siasatan dan tindakan menyeluruh serta pantas oleh pihak kerajaan termasuklah pemeriksaan sebarang isu-isu sistem infrastruktur dan mekanisme sokongan yang lemah yang sedang dihadapi oleh negara.

"Ini termasuk siasatan menyeluruh terhadap aktiviti pembalakan dan pembukaan kawasan hutan di sepanjang banjaran berbukit dan cerun serta kawalan hakisan dan sedimen yang kurang berkesan di kawasan pembangunan. Selain itu, terdapat juga keperluan dalam memeriksa sebarang kemungkinan kekurangan serta keberkesanan sistem amaran banjir dan juga pemantauan," kata mereka dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Kata mereka, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat aktiviti pembalakan dan pembukaan hutan berskala besar untuk perladangan durian dan hutan di kawasan ini, dengan kebanyakan daripada aktiviti ini dilakukan tanpa Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan sedikit ataupun tiada langkah-langkah mitigasi dan kawalan alam sekitar yang dilakukan.

"Sejak September 2020, beberapa komuniti dan NGO membantah aktiviti pembalakan dan pembukaan kawasan hutan berhampiran Sungai Gapoi dan Sungai Telemong, di selatan Karak, dengan menekankan risiko terhadap sumber bekalan air, keselamatan dan kawasan sensitif alam sekitar

"Apabila berlaku hujan lebat antara 17 hingga 19 Disember lalu, hanya terdapat beberapa hutan yang masih utuh dan padat untuk menahan dan memperlahankan aliran air. Apa yang berlaku adalah tanah, kayu balak dan serpihan hutan dihanyutkan dengan cepat ke bahagian hilir, mengakibatkan bencana di Karak, Bentong juga kampung-kampung serta kawasan perumahan yang berhampiran.

"Paras air lumpur juga naik dengan mendadak sehingga rumah-rumah ditenggelami air dan lumpur tanpa sebarang amaran awal," katanya.

Kata mereka, tindakan pemulihan bencana dan banjir mungkin memakan masa sehingga berbulan dan memerlukan agihan belanjawan yang besar malah impak kejadian ini dianggarkan akan berkekalan sehingga sekurang-kurangnya 10 tahun.

Jelas mereka lagi, Kerajaan Persekutuan dan negeri digesa adakan siasatan bebas terhadap kejadian banjir, aliran lumpur dan hanyutan balak dan kerosakan terhadap harta benda, perkhidmatan dan nyawa serta sumber pendapatan di daerah Bentong serta mengenal pasti punca kejadian dan merangka tindakan jangka pendek dan panjang.

"Mengenakan moratorium serta-merta ke atas sebarang kelulusan lanjut untuk pembukaan hutan dan tanah bercerun di daerah Bentong serta menghentikan serta-merta sebarang aktiviti pembalakan atau operasi pembukaan tanah yang sedang dijalankan sementara menunggu hasil siasatan yang dicadangkan.

"Selain itu, semakan segera ke atas pematuhan terhadap peraturan pengurusan perhutanan, alam sekitar dan tanah oleh pemilik dan pengurus tanah di daerah Bentong dan mengambil tindakan pantas untuk membawa mana-mana pihak yang sudah melanggar peraturan segera ke muka pengadilan dan memberikan pampasan yang sewajarnya kepada komuniti yang terjejas.

"Memperuntukkan belanjawan atau menubuhkan dana untuk menyokong pelan pemulihan pasca banjir serta mencadangkan penubuhan pasukan peronda berasaskan komuniti rasmi sebagai mata dan telinga di lapangan untuk memantau, melaporkan dan berkongsi maklumat," katanya.


--BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo