NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BN sukar tawan Selangor jika bertembung dengan PAS, kata Noh


PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) sukar merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) jika masih bertembung dengan PAS, sekutu Umno dalam Muafakat Nasional (MN) sepertimana Pilihan Raya Negeri Melaka sebelum ini.

Perkara itu diakui sendiri Pengerusi BN Selangor, Noh Omar sambil memaklumkan antara punca kegagalan parti itu merampas kembali pentadbiran negeri daripada PH adalah pertembungan tiga penjuru dengan PAS dalam pilihan raya lepas.

“Kerana itu kita di Selangor, cara terbaik ialah dengan MN. Sebab itu kita dengan PAS negeri hubungan kita baik.

“Kita harap pucuk pimpinan Umno, PAS tolong tengok…Selangor ini lain dari lain. Politik ini lain negeri, lain cara,” katanya menerusi program Sembang Politik PRU15: BN Mampu Tawan Selangor? secara langsung di Facebook Utusan.

Noh yang juga pengerusi Umno negeri berkata, perkara itu telah dibawa kepada Presiden, Ahmad Zahid Hamidi untuk dipertimbangkan.

Beliau turut memaklumkan dirinya secara peribadi telah merayu kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang supaya memastikan parti Islam itu tidak bertembung di Selangor.

“Kalau di Selangor Umno dan PAS masih nak bertembung saya bimbang dua-dua akan habis. Kena cari formula jangan bertembung.

“Kita harap semangat MN di Selangor kita akan teruskan, tapi kalau PAS nak dengan Perikatan Nasional (PN) kita tak ada pilihan. Jangan esok-esok berlaku pertembungan nak salahkan Umno,” katanya dengan menambah hubungan Umno-PAS juga masih akrab termasuk di peringkat akar umbi.

Sementara itu, ditanya sama ada BN Selangor sedia berkerjasama dengan Bersatu, Noh berkata pihaknya terikat dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) untuk tidak bekerjasama dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu.

“Setakat hari ini Umno punyai pendirian kita tak kerjasama dengan Bersatu, tapi tak tahulah pada PAU akan datang (jika) keputusan berubah,” katanya.

Noh juga tidak menolak kemungkinan ketiadaan Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin dalam PH akan memberi kelebihan kepada BN.

“Kita tengok Melaka siapa sangka PKR satu kerusi (pun) tak menang? Mungkin rakyat lihat PKR berebut jawatan. Rakyat nak parti yang ada solidariti bukan sahaja dalam parti sendiri tapi dengan parti lain,” katanya.

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo