NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Sarawak: Abang Jo timbang tanding kawasan baharu


Agak terlalu awal bagi Mohd Naroden Majais mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding dalam PRN Sarawak, menurut Abang Johari Openg. (Gambar Bernama)

GEDONG: Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata beliau akan menimbangkan sama ada terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak nanti, atau beralih untuk bertanding di kawasan DUN Gedong.

Beliau berkata demikian susulan pelawaan penyandang kerusi DUN Gedong, Mohd Naroden Majais supaya ketua menteri itu bertanding di kawasan berkenaan, ekoran keputusan Naroden untuk tidak mempertahankan kerusi itu dalam PRN Sarawak nanti.

“Saya akan timbangkan (pelawaan Naroden). Insya-Allah saya akan buat keputusan saya. Saya pun terpaksa madah (beritahu) orang (pengundi di DUN) Satok juga (terlebih dahulu),” katanya ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Lubok Teranggas-Gedong di sini hari ini.

Terdahulu Naroden semasa berucap di majlis itu mempelawa Abang Johari untuk bertanding di DUN Gedong nanti kerana Ketua Menteri itu disifatkannya memiliki kuasa dan tenaga untuk mempercepatkan lagi pembangunan di kawasan DUN berkenaan.

“Saya dengan relanya membuka ruang kalau Yang Amat Berhormat (Abang Johari) sudi mengambil alih masuk ke pintu gerbang DUN 26 Gedong dalam PRN Sarawak nanti,” katanya.

Abang Johari berkata, agak terlalu awal bagi Mohd Naroden mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding dalam PRN ini, namun beliau akan tetap menghormati keputusan berkenaan sekiranya ia muktamad.

“Kalau Datuk Naroden (tetap mahu) berhenti (menjadi ADUN), saya minta Datuk Naroden terus bantu saya dari sudut perancangan kerajaan. Ada cara saya, sekiranya (keputusan) beliau kuat (muktamad) nak berhentilah, tapi saya tidak mahulah beliau berhenti,” tambahnya.

Naroden, 68, yang juga Menteri Muda Pembangunan Usahawan, Perusahaan Kecil dan Sederhana Sarawak menjadi ADUN Gedong sejak kawasan DUN itu diwujudkan dalam PRN-11 pada tahun 2016.

Sebelum itu beliau menjadi ADUN Simunjan selama lima penggal bermula dari 1991 hingga 2011, manakala Abang Johari pula telah menjadi ADUN Satok selama sembilan penggal bermula dari 1991.

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo