NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Melaka: KM wanita kejutan saat akhir PN




KM wanita kejutan saat akhir PN

IQHWAN HAKIM - 19 November 2021

Perikatan Nasional (PN) sekali lagi membuat kejutan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila menjadi yang terakhir daripada tiga gagasan parti besar yang bertanding bagi mengumumkan 'poster boy' iaitu calon Ketua Menteri Melaka.

Sebelum ini, PN turut memilih langkah sama apabila menjadi yang terakhir mengumumkan manifesto yang ingin dibawa sekiranya berjaya membentuk sebuah kerajaan baharu di Negeri Melaka.

Perbezaannya kali ini, kejutan lebih besar diumumkan PN apabila mengambil keputusan mencalonkan calon Ketua Menteri dari kalangan wanita untuk menerajui kerajaan PN di Melaka sekiranya diberikan mandat.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis mengumumkan Datuk Mas Ermieyatie Samsudin sebagai calon Ketua Menteri yang disifatkan sebagai satu langkah berani dari gagasan parti tersebut.

Dengan berbaki kurang daripada 24 jam sebelum proses pengundian dilangsungkan, tindakan tersebut dilihat sebagai satu strategi terakhir dalam 'perang' PRN Melaka bagi mengubah pola pengundian.


KM wanita pertama

Pemgumuman Muhyiddin itu sekaligus menghapuskan spekulasi yang bertiup sebelum ini dan bakal mencipta sejarah Melaka malah negara apabila julung kalinya menyaksikan Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menjadi wanita pertama dilantik ke jawatan itu.

Muhyiddin berkata, pencalonan Mas Ermieyati yang juga Ketua Bahagian Bersatu Masjid diputuskan sebulat suara pada mesyuarat Pimpinan Tertinggi PN.

Jika PN menang majoriti daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, ini adalah sejarah negara seorang wanita profesional dan berkelayakan akan menjadi Ketua Menteri.

Justeru Muhyiddin menyeru dan berharap rakyat negeri Melaka akan memberikan sokongan kepada PN untuk merealisasikan impian tersebut.

"Ini adalah saya kira pertama kali dalam sejarah negara, seorang wanita yang berkelayakan tinggi, profesional, muda dan mempunyai banyak pengalaman ditawarkan sebagai calon Ketua Menteri.


Kubu kuat UMNO

"Saya tahu tidak pernah ada di negara kita (calonkan wanita sebagai ketua menteri), tetapi terbukti PN sentiasa memberikan ruang kepada sesiapa sahaja tidak kira jantina lelaki atau wanita untuk pegang jawatan penting.

"Saya harap pengundi akan memberikan sokongan kepada PN dengan harapan agar calon Ketua Menteri kita akan terpilih secara hakikinya oleh perlembagaan negeri Melaka sebagai Ketua Menteri wanita yang pertama untuk Melaka dan Malaysia," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat PN pada Khamis.

Untuk rekod, Mas Ermieyati yang bertanding di DUN Tanjung Bidara berdepan saingan sengit tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) yang juga Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

Kerusi Tanjung Bidara secara tradisi merupakan kubu kuat UMNO di Melaka, namun dengan pencalonan Mas Ermieyati di sana ditambah dengan statusnya sebagai calon KM, satu persaingan sengit dijangka berlaku di kerusi tersebut.

KM wanita kejutan saat akhir PN - 1 - PRU @ Sinar (sinarharian.com.my)






............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo