NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Melaka: Calon PN, Bakri pernah diberi kepercayaan urus ladang di Indonesia




Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH: Calon Perikatan Nasional daripada PAS bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Bakri Jamaluddin diberi kepercayaan sebagai pengurus ladang ketika berusia 25 tahun.

Menurut Bakri, beliau ketika itu baru sahaja beberapa tahun diterima bekerja sebagai kadet pengurusan sebuah syarikat perladangan gergasi Kuala Lumpur Kepong Berhad selepas mendapat Diploma Perladangan daripada Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia) pada 1985.

“Kebetulan waktu itu waktu kemelesetan dan ramai yang menganggur. Jadi saya mengambil keputusan untuk bekerja setelah saya ditawarkan untuk bekerja di sebuah syarikat iaitu Kuala Lumpur-Kepong Berhad.

“Dan saya terus menerima tawaran itu kerana pada dasarnya kami bukanlah daripada keluarga orang berada. Kalau ikut sejarah saya ni adik beradik ramai. Kita nak pergi sekolah pun dulu tak ada duit. Bawa bekal dari rumah.
Advertisement

“Jadi, nak cari duit yuran sekolah terpaksa cabut ubi, jual ubi di sekolah, jual manggis di sekolah. Jadi bila kita diberi peluang untuk bekerja pada waktu itu walaupun dengan gaji RM950 sebulan, saya terimalah,” ujar beliau.

Bakri yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu menambah, tindakan beliau terus bekerja dan tidak menyambung ke peringkat ijazah telah dapat membantu membiayai pelajaran adik-adiknya yang masih bersekolah ketika itu sehingga mereka dapat menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.

Tambahnya lagi, selepas beberapa tahun menjadi pengurus ladang beliau kemudian dipindahkan ke cawangan perladangan syarikat ke Indonesia dan memegang jawatan terakhir sebagai Pengurus Besar Kanan sebelum mengambil keputusan untuk bersara bagi menumpukan kepada politik.

“Saya bekerja 34 tahun dengan KL Kepong. 19 tahun saya di Malaysia dan 15 tahun saya bekerja di Indonesia. Jadi kami bangunkan perniagaan-perniagaan baharu di Indonesia.

“Saya pernah bekerja di Sumatera, di Kalimantan dan juga di ibu pejabat Kuala Lumpur Kepong di Jakarta,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam forum Bicara Harakah yang berlangsung secara dalam talian semalam bertajuk PRN Melaka: Tawaran Perikatan Nasional.

Program yang dipengerusikan oleh Ketua Penerangan PAS Kawasan Tangga Batu, Ustaz Anuar Ibrahim itu turut disertai oleh calon Perikatan Nasional bagi DUN Kuala Linggi, Aziah Mohd Sa’ad.

Selain beliau dan Aziah, enam lagi calon daripada PAS yang bertanding ialah Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning), Datuk Kamarudin Sidek (Duyong), Ja’afar Othman (Durian Tunggal), Ahmad Bilal Rahaudin (Serkam) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).

Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.

Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 20 November manakala undi awal pada 16 November. – HARAKAHDAILY 12/11/2021

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo