NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muktamar Pemuda: Hari besar kami yang penuh kemeriahan




Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

APA ada dengan Muktamar Pemuda PAS Malaysia? Pesta pora tahunan untuk mempamer kegiatan anak muda yang obses dengan kerja dakwah, tarbiah serta siasah atau medan mempamer gaya hidup? Jawaban mengapa muktamar pemuda PAS begini signifikan kepada para amilin terutama para pemuda PAS hanya dapat dilunaskan oleh sesiapa yang bergulat dalam dunia kepemudaan gerakan Islam.

Muktamar Pemuda PAS Malaysia kali ke-62 membezakan dengan siri muktamar yang lain kerana wabak Covid-19 yang menaufan dunia dengan lima juta korban, manakala 28,000 telah meninggal dunia di negara ini. Seperti diungkapkan oleh Pengerusi Tetap Muktamar, Ustaz Kamal Saari, Muktamar Pemuda PAS dengan norma baru begitu sekali luar biasa sehingga agak kekok untuk mengendalikan perjalanan muktamar Pemuda. Membaca laporan lujnah pada peranti pintar, memandang skrin pada belakang dewan, slot-slot tertentu yang perlu dikesampingkan. Impaknya, mood perwakilan menjadi suram dan dingin, dengan gajet di tangan pastilah daya fokus agak tersasar.

Gerakan Islam ini terus membesar, merendang, meranum dan didukungi oleh pelbagai jalur masyarakat serta menjadi rakan kongsi dalam pemerintahan negara. Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia pula menjadi medan pertemuan ahli dan pemimpin untuk merencahi perjalanan bahtera jamaah serta wadah paling tepat untuk introspeksi kegiatan parti sepanjang satu sesi. Saya bernostalgia tentang kehangatan Muktamar DPP Malaysia dalam pertengahan dekad 90-an, perwakilan di bawah pentas bukan kaleng- kaleng orator. Nama-nama seperti Aris Awang, Ustaz Fauzi Husein daripada DPP Kedah, arwah Ustaz Toliban (Ustaz Azli) DPP Perak, arwah Haji Mazlan Ibrahim daripada DPP Kelantan, Cikgu Kadarisman Kadiran daripada DPP Sabah adalah nama mengetop bila sesi perbahasan. Rupanya dekad 1960-an lagi menguja akal apabila sesi perbahasan. Menurut almarhum Ustaz Jais Anwar semasa saya menziarahi almarhum di pinggir kota London pada penghujung 2008, semasa Muktamar DPP Pusat di Perlis ada perwakilan berbahas sehingga menanggalkan baju.

Pemimpin yang tak piawai tak akan mampu duduk selesa di kerusi pimpinan, zaman tanpa gajet yang serba indah. Panas hanya saat berhujah, selepas itu kembali dingin dengan secangkir kopi hangat! Markah untuk dipilih menjadi pemimpin pemuda pula antara indikatornya ialah kaki demonstrasi, wejangan berapi seperti gunung Merapi Jodjakarta, gila “ccopong”, rajin bertamrin dan berkuliah haraki selain pakej kompetensi yang lain.

Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia saban tahun adalah medan ukhuwwah yang sangat membahagiakan, teman-teman yang datang dari seluruh belahan negara, bersampin lengkap seperti ingin diakad nikah, senyum mekar menggambarkan muktamar ialah hari besar dalam kalendar aktivis dakwah negara ini. Gerai Muktamar DPP juga siap berjualan sampin dan aksesori muktamar yang lain termasuk buku-buku haraki untuk dihadam oleh para amilin. Tauke buku akan senyum girang usai muktamar, rezeki umrah katanya.

Saya memerhatikan secara dekat perjalanan Muktamar Pemuda PAS Pusat semenjak di bangku sekolah iaitu pada tahun 1986 di Masjid Rusila, Terengganu. Masjid Rusila antara tarikan pesona terbesar aktivis Islam dekad 80-an, nasi dagang dan nasi minyak dengan harga bawah seringgit dan teh O dengan harga 20 sen. Kami sekelompok remaja yang mengambil peperiksaan SRP di sebuah sekolah premier di Kuala Terengganu. Anak remaja penggemar “jean bundle” yang beragam obsesi, antara Akira Takasaki, mendiang Cliff Burton dan Tok Guru Haji Hadi!

Peserta muktamar yang datang berbondong ke Rusila dengan memakai kain pelekat serta berbaju Melayu. Sesekali laungan takbir yang bersemangat menyulam ucapan pembahas dan pimpinan. Antara usul yang diterima perwakilan ialah usul memboikot akhbar Utusan Malaysia, sebuah akhbar yang paling provokatif dan konsisten menyelewengkan ucapan pimpinan PAS. Pada sebelah malamnya pula kampung nelayan bersejarah itu dipadati puluhan ribu rakyat yang hadir untuk mendengar ceramah pimpinan utama dan juga tetamu jemputan muktamar yang diundang dari luar negara.

PAS waktu itu belum mempunyai akhbar sendiri, berita tentang PAS begitu hodoh di kaca mata media perdana negara ini. Antara medium utama maklumat ialah ceramah dan juga kaset-kaset yang dijual dengan harga yang murah. Kerana jurang maklumat inilah maka muktamar adalah medan ukhuwwah dan medan maklumat paling penting kepada ahli-ahli PAS. Ceramah pimpinan PAS umpama hiburan kepada masyarakat agrarian saat itu, selain Tok Guru dan Mat Sabu, almarhum Ustaz Bunyamin Yaakob adalah penceramah fenomena pada penghujung dekad 80-an.

Masa bergulir pantas, perkembangan teknologi dan peredaran zaman turut menyimbah perubahan kepada muktamar PAS. Di kampus saya mengikuti dengan lebih dekat program muktamar, seperti muktamar yang diadakan di markas Tarbiah Taman Melewar Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka juga antara tempat yang popular untuk muktamar iaitu sebelum Markas Tarbiah PAS Pusat didirikan di Taman Melewar pada tahun 1986. Di Dewan Syed Nasir DBP juga pada tahun 1982 juga telah menyaksikan transformasi kepimpinan yang dinamakan kepimpinan ulamak.

Markas Tarbiah Taman Melewar pada awal dekad 1990-an begitu meriah terutama dengan perbarisan Unit Amal, sebuah entiti dalam Dewan Pemuda PAS. Jika muktamar berlangsung di Taman Melewar, maka aktivis PAS Wilayah Persekutuan dan Selangor akan menjadi tuan rumah. Kami berbulan mempersiapkan lokasi serta pelbagai persiapan lain untuk menerima tetamu. Masjid surau sekitar Taman Melewar akan meriah menjadi tempat penginapan perwakilan dan pemerhati. Begitu juga rumah pimpinan PAS sekitar Markas Tarbiah PAS Pusat juga turut menampung urusan rehat pimpinan negeri sebelum wujudnya hotel Anjung Rahmat di Jalan Gombak. Ukhuwwah semahal tempayan emas!

Muktamar juga bukan sekadar perbahasan yang hangat, namun juga direncah menarik dengan medan jual beli, peniaga begitu sibuk mempamerkan dagangan, riuh rendah tawar menawar sehingga muktamar menjadi pesta besar keluarga PAS. Laksa kedah, sup utara seumpama menu wajib di lokasi Muktamar DPP Pusat. Unit Amal dengan dapur amal di bahagian kebun rambutan di hadapan rumah almarhum Ustaz Hassan Shukri. Segalanya kini menjadi kenangan paling indah.

Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia terus semakin berseri serta ceria apabila PAS menang di beberapa buah negeri seperti di Kelantan, Terengganu, Perak dan Selangor. Kemudahan bermuktamar di stadium, juga hotel yang serba lengkap dewan seminar beserta dengan penginapan, parkir yang selesa, sistem audio yang mengikuti piawaian antarabangsa.

Kini muktamar PAS melangkah ke depan dengan seribu tarikan pesona, malah turut disensasikan oleh media perdana dan juga fenomena media baru.

PAS kini di persada utama gerakan Islam dunia, menjadi sebahagian daripada kerajaan, keberadaan harakatul ummah ini begitu dirasai, maka menjadikan Muktamar Dewan Pemuda semakin berseri. Insya-Allah, harakatul ummah ini akan terus relevan kepada rakyat negara ini selagi mana ia selari dengan orbit Islam.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo