NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Varian Delta boleh tingkat jangkitan COVID-19 di Melaka'



KUALA LUMPUR : Walaupun Barisan Nasional (BN) berpeluang menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, ia perlu ditangguhkan kerana pandemik COVID-19 di negeri itu belum reda dengan kes baharu varian Delta membabitkan orang dewasa dan kanak-kanak bertambah.

Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil, berkata apa yang berlaku selepas PRN Sabah tahun lalu tidak boleh dibenarkan berulang di Melaka sehingga berjangkit ke negeri lain di Semenanjung.

Katanya, soal logistik juga menjadi masalah kerana Melaka mempunyai lebih 500,000 pengundi dan sejumlah besar daripadanya adalah pengundi luar.

"Jika pilihan raya diadakan, kemungkinan besar pengundi luar akan menghadapi kesukaran mengundi atau merentas negeri.

"Kita tidak mahu ada banyak kekangan kepada pengundi untuk mengundi, ini tidak baik untuk demokrasi dan keabsahan keputusan nanti.

"Jadi, lebih baik jika kita tangguh pilihan raya sehingga keadaan COVID-19 reda, seperti yang kita buat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan Parlimen Batu Sapi serta Gerik," katanya dalam kenyataan, hari ini.


DUN Melaka dibubarkan susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan negeri mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Berikutan pembubaran itu, PRN Melaka perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

Sementara itu, Isham berkata, untuk menangguhkan PRN Melaka, darurat perlu diisytiharkan secara berfokus di negeri itu saja, bukannya di seluruh negara.

"Dalam kes ini, untuk tangguh PRN, Kerajaan Melaka atau Ketua Menteri melalui Perdana Menteri boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di negeri Melaka atas sebab keselamatan dan kesihatan rakyat," katanya.

Mengulas peluang BN jika PRN tetap dilaksanakan, Isham berkata, parti itu mempunyai peluang cerah kerana sudah berdekad terbukti berjaya mentadbir negara dengan baik untuk kestabilan politik, ekonomi dan untuk memulihkan negara daripada krisis.

Katanya, ia berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji pilihan raya, selain gagal mentadbir kerajaan ketika 22 bulan mereka memerintah sehingga keadaan ekonomi menjadi semakin teruk.

"Perikatan Nasional (PN) pula membabitkan ramai pelompat parti, pengundi tidak suka amalan ini. Jadi, rekod PH dan PN masih tidak baik, malah buruk di mata rakyat.

"Jika PRN diadakan di Melaka, BN ada peluang cerah menang sekurang-kurangnya 17 hingga 21 daripada 28 kerusi DUN untuk membentuk semula kerajaan negeri, dengan usaha kuat kita dan izin Allah," katanya.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo