NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiada keperluan adakan PRN Melaka – Idris Haron




5 OKT: ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron berpandangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak perlu diadakan, kerana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan dalam tempoh setahun setengah sahaja lagi.

Justeru, beliau yang turut menarik sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali secara peribadi menolak cadangan UMNO yang mahukan PRN diadakan bagi menyelesaikan kemelut politik negeri.

Menurut beliau, pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu diberi peluang mengetuai Melaka, selepas Sulaiman hilang majoriti susulan langkah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik balik sokongan kepada kepemimpinannya semalam.

“Jika PRN ingin diadakan, ia membabitkan banyak perkara yang harus kita pertimbangkan kerana kita masih dalam pandemik COVID-19 dan ia menyebabkan risiko lebih tinggi. Ia juga membabitkan kos perbelanjaan yang tinggi.

“Selain itu, PRU-15 sudah dekat, lebih kurang setahun setengah saja lagi dan kita tidak mahu apa yang berlaku pada PRN Sabah sebelum ini berulang di tempat kita yang menyaksikan jumlah pesakit COVID-19 naik mendadak,” katanya yang memetik BH, hari ini.

Bagaimanapun, Idris menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam sama ada mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau memilih Ketua Menteri yang baharu dalam kalangan pemimpin PH.

Beliau menegaskan, jika pemimpin PH dipilih menjadi Ketua Menteri, beliau yakin Melaka akan tetap dimajukan, bukannya diundurkan 20 tahun.

“Kalau PH bentuk kerajaan, takkanlah kita hendak jadikan Melaka mundur, sudah tentulah kita majukan negeri kita ini,” katanya.

Idris juga enggan mengulas mengenai parti mana yang akan disertai beliau bersama tiga lagi ADUN yang terbabit dalam langkah menarik sokongan semalam.

Semalam, selain Idris, yang turut mengumumkan menarik sokongan terhadap Sulaiman ialah ADUN BN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, ADUN Bebas Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN BERSATU Telok Mas, Datuk Noor.

Berikutan itu, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dilaporkan akan mencadangkan kepada Mohd Ali supaya membubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan.

Ab Rauf berkata, UMNO Melaka sedia menghadapi PRN dan BN komited mempertahankan kerajaan negeri.

Turut mencadangkan agar PRN diadakan ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum penarikan sokongan keempat-empat ADUN terbabit, UMNO memiliki 14 kerusi manakala BERSATU (2) dan Bebas (1). PH mempunyai 11 kerusi.

Bagaimanapun, dengan penarikan sokongan empat ADUN terbabit, UMNO sekarang hanya mempunyai 12 kerusi manakala BERSATU (1).

Jika keempat-empat ADUN terbabit sah menyertai PH, maka PH mempunyai 15 kerusi, iaitu empat melebihi UMNO dan BERSATU.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo