NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Melaka: PN, MN boleh menang 21 kerusi jika kerjasama, kata Khairuddin


Seorang pemimpin PAS berkata, kerjasama antara parti mentadbir Putrajaya boleh diteruskan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dengan mengekalkan kerusi yang dimenangi penyandang daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini bermakna 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Umno dan dua oleh penyandang dari Bersatu kekal ditandingi parti itu pada 20 Nov ini.

“Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menyebut formula perundingan di PRN Melaka, iaitu kerusi penyandang kekal kepada penyandang. Ini bermakna Umno-Barisan Nasional kekal bertanding 14 kerusi.

“Dengan dokongan undi PAS dan Bersatu, 14 kerusi ini sangat selamat untuk dimenangi Umno. Bersatu kekal bertanding dua kerusi yang disandang. Kemenangan sangat dijangka dengan dokongan undi Umno, BN dan PAS,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjangkakan jika kerjasama antara parti dalam PN dan MN, khususnya Umno dan Bersatu dapat direalisasikan, gabungan itu mampu memenangi lima lagi kerusi DUN.

“Baki lagi 12 daripada 28 kerusi DUN perlu diagihkan antara tiga parti. Dengan dokongan tiga parti utama, lima kerusi sangat selamat untuk dimenangi bersama atas nama muafakat.

“Dengan itu PN dan MN gagah untuk memenangi PRN Melaka, dengan 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka. PH boleh tutup buku.”

Katanya, untuk parti dalam PN dan MN berunding tidak sukar, jika mereka mempunyai matlamat sama, iaitu kemenangan bagi umat Islam dan menghalang PH menang.

“Saya menyeru semua pihak berunding. Jangan pertaruhkan kemenangan PRN Melaka kepada PH disebabkan perpecahan, setelah mana kita menjadi kerajaan hari ini disebabkan perpaduan antara kita. Perpaduan adalah penyelamat, perpecahan adalah azab dan sengsara.”

Sebelum ini, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan itu yang disertai Bersatu, PAS, Gerakan, STAR dan SUPP dijangka bertanding semua 28 kerusi DUN Melaka.

Kenyataan Muhyiddin itu menyusul ketegasan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu partinya bekerjasama dengan PN bagi menghadapi PRN Melaka.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo