NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan lulus campuran dua vaksin untuk dos ketiga




4 OKT: Kerajaan sudah meluluskan penggunaan kaedah heterolgi atau campuran dua vaksin untuk pemberian dos ketiga atau ‘booster dose’ dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan Jawatankuasa Kecil Teknikal dipengerusikan oleh Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Dr. Kalaiarasu M. Periasamy.

Beliau berkata Jawatankuasa Kecil Teknikal berkenaan mengemukakan cadangan kepada JKJAV supaya kaedah heterolgi atau campuran vaksin digunakan dalam pemberian ‘booster dose’ bukan seperti dos pertama dan kedua.

“Kajian mengenai keselamatan dan keberkesanan sudah dilaksanakan dan disyorkan untuk kita laksanakan campuran vaksin atau kaedah heterolgi berkenaan dalam pemberian dos booster yang akan bermula pada bulan ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di sesi jawab lisan di Parlimen sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh Ahli Parlimen BERSATU-Beaufort, Datuk Azizah Mohd Don yang meminta penjelasan Menteri Kesihatan sama ada kerajaan bercadang mengguna pakai kaedah heterolgi dalam pemberian dos penggalak atau booster dalam pelaksanaan PICK, pada masa depan.

Mengulas lanjut, Khairy berkata KKM juga dijangka memulakan pemberian dos ketiga kepada kumpulan tertentu seperti petugas barisan hadapan, pesakit kurang daya tahan imunisasi, warga tua dengan komorbiditi serta kakitangan dan penghuni rumah warga emas sebagai langkah meningkatkan perlindungan kepada mereka yang berisiko tinggi pada bulan ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengumumkan peruntukan tambahan RM13.9 juta bagi membolehkan konsortium dianggotai pelbagai kementerian dapat terus menjalankan analisis penjujukan genom SARS-CoV-2.

Beliau berkata dana berkenaan membolehkan kesinambungan dalam menjalankan penjujukan genom memandangkan adalah sangat penting bagi pemantauan kemasukan varian baharu ke Malaysia.

“Sehingga 30 September 2021, sejumlah 1,312 sampel telah dianalisis oleh konsortium dan ini telah meningkatkan jumlah genom dari Malaysia yang telah dimuat naik ke GISAID kepada 3,009. Terkini, hasil analisis penjujukan 1,312 sampel menunjukkan bahawa sebanyak 1,246 (iaitu 94.9%) telah dikenal pasti sebagai varian Delta manakala 11 sampel dikenal pasti sebagai Beta dan 55 yang lain tergolong dalam varian bukan VOC.

“Sampel-sampel yang dipilih adalah daripada kesemua negeri termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan. Sehingga kini, tiada varian Mu dan Lambda dikesan daripada sampel-sampel di Malaysia. Konsortium ini akan terus memantau penularan varian virus SARS-CoV-2 di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Khairy berkata kerajaan juga meningkatkan kawalan di pintu masuk antarabangsa bagi mencegah kemasukan varian baharu ke Malaysia dari luar negara.

Beliau berkata kerajaan juga meningkatkan kawalan kemasukan pengembara di pintu masuk antarabangsa (PMA) selepas penilaian risiko dijalankan ke atas negara-negara berisiko.

“Kerajaan juga meningkatkan penilaian risiko jangkitan dijalankan bagi permohonan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman iaitu lengkap vaksin COVID-19 dan penilaian risiko jangkitan di rumah adalah rendah.

“Pengembara yang tidak mematuhi syarat-syarat ini diwajibkan menjalani kuarantin di stesen kuarantin; mewajibkan kuarantin selama 14 hari bermula dari tarikh kemasukan ke Malaysia.

“Tempoh kuarantin 14 hari ini akan dilanjutkan selama 7 hari lagi (menjadikan jumlah kuarantin 21 hari) sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil penilaian risiko terhadap pengembara tersebut yang dijalankan pada hari ke-14,” katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa juga hanya membenarkan kemasukan pengembara disahkan negatif COVID-19 dengan laporan ujian makmal RT-PCR yang dilakukan tiga hari sebelum berlepas.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo