Responsive Ad Slot

Empat bekas adun lompat parti tak sesuai jadi calon PRN Melaka - Rafizi



Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, individu yang mempunyai rekod dan berakhlak buruk tidak sesuai dijadikan calon untuk pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

“Watak-watak ini mempunyai rekod buruk, akhlak ADUN yang suka memaki hamun bukanlah jenis calon yang kita mahu tampilkan.

“Menerima watak-watak yang dipandang serong oleh rakyat kerana tindakan tidak berprinsip mereka selama ini adalah satu kesilapan yang menghakis keyakinan rakyat. Janganlah ambil jalan singkat atas nama strategi,” katanya dalam catatan di Facebook dan Twitter.

Naib Presiden PKR itu berkata, kenyataan itu dibuat atas rasa tanggungjawab sebagai rakyat, pengundi dan aktivis veteran PKR serta Pakatan Harapan (PH).

Beliau mendakwa menerima pesanan bertubi-tubi yang bimbang dengan tindakan mengalu-alukan beberapa individu yang disifatkannya sebagai “watak kontroversi” dalam menghadapi PRN Melaka.

“Rakyat menjadi mangsa berdepan risiko wabak Covid-19 gara-gara perebutan kuasa dan kekayaan sesama pimpinan Umno/BN/PN.

“Mungkin ada keghairahan seorang dua pimpinan PKR yang melihat ini peluang untuk menjadi orang besar di Melaka, tetapi janganlah keghairahan itu mempengaruhi keputusan dengan mencari jalan pintas.

“Kalau tak nak dengar pun lantaklah, tapi rakyat akan menilai,” katanya.

Sebelum ini, empat bekas ADUN Melaka yang menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri itu dilaporkan mahu bertanding atas tiket PH pada PRN Melaka dan turut menemui Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim serta pemimpin PH lain di sebuah hotel pada Isnin lalu untuk membincangkan perkara itu.

Hari ini, Anwar dilaporkan berkata, kehadiran bekas Ketua Menteri Melaka, Idris Haron dan tiga bekas ADUN lain dalam majlis perjumpaan ahli PKR negeri itu kelmarin hanya untuk mengucapkan terima kasih.

PRN Melaka akan diadakan 20 Nov ini, selepas Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan 4 Okt lalu susulan tindakan Idris (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) menarik sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo