NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Calvin Thoo reka pakaian buat Allahyarham Ismail Kamus sekeluarga



Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Ramai yang tidak tahu pereka fesyen tanah air bertaraf antarabangsa, Calvin Thoo pernah membuat rekaan pakaian buat Allahyarham Ustaz Dato’ Ismail Kamus dan keluarga disebabkan hubungan rapat antara mereka.

Calvin, 49, berkata, dia mengenali Allahyarham dan keluarga sebelum memeluk Islam lagi dan Allahyarham merupakan antara individu yang telah menyaksikan beliau mengucap dua kalimah Syahadah ketika memeluk agama Islam, pada kira-kira lapan tahun lalu.
Advertisement

“Sebelum saya memeluk agama Islam lagi, saya sudah kerap bertemu dengan Allahyarham Ustaz Dato’ Ismail Kamus dan saya pernah design pakaian untuk Allahyarham dan keluarga seperti baju raya dan busana pengantin untuk keluarga arwah.

“Allahyarham tidak pernah memaksa saya tetapi menitipkan sedikit demi sedikit tentang ilmu agama Islam. Allahyarham juga telah banyak mengajar saya tentang Islam dan akan menjawab secara berhikmah apa sahaja persoalan yang saya utarakan,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Di samping itu, menurut Calvin, dia mengenali ramai ahli politik PAS, cuma beliau tidak mahu bercakap tentang politik kerana mahu menjaga hati banyak pihak.

“Kadang-kadang, ada ahli politik tertentu yang bertanya kepada saya tentang perkara tertentu, dan saya berikan respons serta pandangan saya sebagai seorang rakyat Malaysia. Pandangan saya tentang politik ialah kita hanya mahukan semua orang berasa selesa dan hidup harmoni. Saya tidak meminati politik dan cukuplah dengan kerjaya saya sebagai pereka fesyen sahaja,” katanya.

Tambah Calvin, dia pernah membuat rekaan pakaian untuk Kerabat Diraja Pahang, Terengganu, Kelantan dan Perlis, sementara untuk pasaran antarabangsa dia pernah menyertai pertunjukan fesyen di luar negara seperti di Paris, Brunei, Australia, China, Thailand dan Indonesia.

“Saya turut mempunyai pelanggan dari benua Afrika, Kerabat Diraja Arab Saudi serta Kerabat Diraja Eropah. Malah, ada Kerabat Diraja Eropah akan datang setiap tahun berjumpa saya untuk menggunakan khidmat rekaan saya. Cuma dua tahun kebelakangan ini dia tidak hadir ke Malaysia disebabkan pandemik Covid-19,” ujarnya.

Menurut Calvin, setiap pereka fesyen mempunyai cara dan prinsip masing-masing. Bagi beliau, perkara paling penting dalam rekaan pakaian untuk seseorang adalah berdasarkan personaliti individu berkenaan.

“Saya turut mempunyai banyak koleksi Muslim yang telah saya reka untuk ramai selebriti terkenal tanah air seperti Dato’ Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Rozita Che Wan, selain ibu kepada Chef Wan,” katanya.

Terdahulu, Calvin Thoo telah memeluk agama Islam pada 20 Mei, 2013 dan mengucap syahadah dengan disaksikan Allahyarham Ustaz Dato’ Ismail Kamus, Dato’ Dr Asri Zainal Abidin dan Ustaz Sallehan Mukhyi (yang ketika itu merupakan ADUN Sabak). -HARAKAHDAILY 6/10/2021

https://harakahdaily.net/index.php/2021/10/06/calvin-thoo-reka-pakaian-buat-allahyarham-ismail-kamus-sekeluarga/



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo