Responsive Ad Slot

AUKUS berpotensi gugat keamanan, kestabilan Rantau Asia




12 OKT : Walaupun Utusan Khas Australia, Vice Admiral David Johnston memaklumkan kerjasama tiga hala Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) atau dikenali (AUKUS) bukan pakatan ketenteraan namun Malaysia menegaskan sebarang tindakan ketenteraan provokatif serta berpotensi meningkatkan ketegangan dan konflik perlu dihindari.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein turut menekankan bahawa pendirian Malaysia tidak akan berganjak, di mana sebarang masalah, perbezaan dan pertikaian perlu ditangani, konsisten dan jelas menerusi dialog dan jalan perundingan.

“Pendirian terkini Kerajaan Malaysia berhubung AUKUS tetap konsisten dengan pendirian yang telah ditegaskan oleh Perdana Menteri, yang mana pembentukan AUKUS melahirkan kegusaran kerana ia berpotensi mengganggu gugat keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.

“Ia juga bakal memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan,” katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen BN Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria yang ingin kerajaan menyatakan pendirian terkini khususnya Kementerian Pertahanan berkaitan isu pakatan keselamatan tiga negara yang telah diwujudkan menerusi (AUKUS) susulan kunjungan Utusan Khas Australia ke atas Menteri Kanan Pertahanan, baru-baru ini.

Terdahulu, Utusan Khas Australia menerangkan bahawa AUKUS merupakan kerjasama bagi perkongsian teknologi kapal selam berkuasa nuklear serta menjelaskan program kapal selam berkuasa nuklear ini tidak melibatkan persenjataan nuklear selaras dengan Non-Proliferation of Nuclear Weapons Treaty (NPT) 1968.

Mengulas lebih lanjut, Hishamuddin berkata, pendirian Malaysia tetap teguh walaupun telah mengadakan pertemuan dengan David Johnston baru-baru ini serta telah mengadakan perbualan telefon bersama Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton.

Dalam kedua-dua perbincangan ini, beliau menyatakan bahawa Malaysia tidak mahu diheret dalam geopolitik pertimbangan kuasa-kuasa besar di samping menekankan sebagai sebuah negara ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

“Australia harus hormati prinsip ini dan hormati pendirian Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan Malaysia termasuk di bawah United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) dan Southeast Asian Nuclear-Weapon-Free Zone Treaty (SEANWFZ).

“Saya juga memaklumkan kepada mereka bahawa sekiranya kapal perang atau kapal selam berkuasa nuklear memasuki wilayah perairan Malaysia, berhasrat memasuki pelabuhan Malaysia atau mahu melaksanakan latihan ketenteraan bersama Malaysia, persetujuan khas daripada Kerajaan Malaysia mestilah terlebih dahulu diperolehi yang mana ia akan dipertimbangkan secara case-by-case basic,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo