NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMNO perlukan adakan pemilihan jawatan sebelum Julai 2022 – Peguam




PUTRAJAYA: Pengamal undang-undang, Datuk Adnan Seman menggesa parti UMNO mengadakan pemilihan jawatan peringkat cawangan, bahagian dan pusat sebelum Julai 2022.

Memetik laporan Utusan Online, ianya juga sebagai menghormati Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kesta­bilan Politik yang ditandata­ngani Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lalu, menyaksikan persetujuan kerajaan untuk tidak membubarkan Parlimen sehingga 31 Julai 2022.

Adnan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak berkata, ia bertujuan mewujudkan kestabilan politik sekurang-kurangnya sehingga tempoh 10 bulan lagi.

Atas sebab itu, beliau berpandangan pemilihan UMNO wajar dilaksanakan pada suku pertama sekitar Januari hingga Mac tahun depan bagi peringkat cawangan, manakala peringkat bahagian dan Pusat pula pada suku kedua 2022.

“Kita menjangkakan imuniti kelompok sudah mampu dicapai pada suku pertama tahun 2022.

“Pemilihan UMNO yang dilak­sanakan seawal suku pertama tahun depan mampu memberi peluang kepada akar umbi parti terbesar negara ini memilih kepemimpinan baharu menerajui parti berdepan dengan PRU-15 yang boleh diadakan pada suku ketiga atau suku terakhir 2022 untuk mengembalikan semula kestabilan politik dan ekonomi negara,” katanya di sini semalam.

Adnan berkata, pemilihan UMNO sebelum PRU-15 bakal menguji kekuatan dan tahap sokongan pemimpin-pemimpin yang sedang menerajui parti itu mahupun kerajaan ketika ini.

Katanya, keputusan pemilihan itu juga akan menentukan pendirian UMNO berkaitan kerjasama politik dengan beberapa parti yang membentuk kerajaan ketika ini.

Maka, katanya, suka atau tidak, pemilihan parti amat wajar dilaksanakan sebelum PRU-15 sekali gus memberi peluang kepada akar umbi memilih dan menentukan barisan kepemim­pinan di semua peringkat yang pada pandangan majoriti ahli mampu menguatkan dan memenangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU-15.

Dalam pada itu, menyokong pendapat sama, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Dr. Mohammad Khir Toyo berkata, jangkaan perkembangan negara yang memasuki fasa endemik bulan depan, situasi ketika itu membolehkan mesyuarat secara bersemuka diadakan sekali gus mewajarkan UMNO mengadakan mesyuarat di semua peringkat dan membuat pemilihan.

Kata beliau, bagi mengelakkan pertembungan dengan PRU-15, maka lebih elok UMNO me­ngadakan pemilihan lebih awal sebaik-baiknya sebelum Julai memandangkan kerajaan dan semua parti bersetuju supaya tidak ada pilihan raya umum sebelum 31 Julai tahun depan.

Beliau berkata, parti pembangkang akan ‘memaksa’ Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja selepas Julai 2022 berakhir, jus­teru, jika UMNO masih menangguhkan pemilihan sehingga hujung tahun 2022 akan berlaku pertembungan dengan PRU-15.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul pula berkata, UMNO mampu berdepan PRU-15 dengan lebih mantap jika menyelesaikan urusan pemilihanya sebelum tempoh MoU dengan pembangkang itu tamat.

Sementara itu, Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa pula menyatakan kebimbangan berkemungkinan berlakunya perpecahan sekiranya pemilihan parti itu dilaksanakan dalam masa terdekat.

Katanya, penangguhan pemilihan lepas adalah satu keputusan yang amat baik dan dibuat mengikut kesesuaian keadaan.

Akhir bulan lalu, ROS membatalkan keputusannya sebelum ini yang menegaskan keputusan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti itu adalah tidak sah. – UTUSAN


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo