Responsive Ad Slot

Bongkar! Ini bukti PH dapat bantuan asing?

 


IRI pernah akui bantu kemenangan PH PRU-14

KUALA LUMPUR: Sudah menjadi rahsia umum bahawa Pakatan Harapan (PH) mendapatkan bantuan asing demi kelangsungan karier politik mereka.

Perkara ini pernah didedahkan Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining selepas kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14, tiga tahun lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, Twining sendiri membuat pengakuan pernah menjalinkan kerjasama dengan pihak pembangkang sejak tahun 2002.

“Lebih mengejutkan, beliau mendedahkan bahawa mereka mendapat tajaan dana daripada National Endowment for Democracy (NED) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

 

“Dalam sebuah forum antarabangsa, Presiden IRI sendiri mengaku kemenangan PH pada PRU-14 adalah hasil bantuan dan sokongan mereka.


“Beliau menyifatkan sebagai usaha mereka di Malaysia sebagai berbaloi dan berjaya dengan kemenangan PH tersebut.

“Beliau telah beberapa kali datang ke Malaysia untuk bertemu dengan pimpinan PH setelah kemenangan mereka dalam PRU-14,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Menurut Khairil, PAS yang pernah menjadi sebahagian daripada parti komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) menyuarakan pandangan tegas berhubung perkara tersebut sehingga mengakibatkan perpecahan dalam parti.

 “PAS sendiri yang pernah menjadi salah satu parti komponen dalam Pakatan Rakyat telah mendapat maklumat-maklumat di peringkat dalaman bahawa sememangnya parti komponen lain ‘menjemput bantuan asing’ khususnya dalam beberapa usaha termasuk demonstrasi tertentu.

“Ini yang menyebabkan PAS mula berhati-hati dan bersuara tegas terhadap perkara ini sehingga berlakunya perpecahan dalam Pakatan Rakyat,” katanya yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).

Tambah Khairil, hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak berkenaan bukanlah sesuatu yang asing kerana pembangkang akan melakukan apa jua cara bagi memiliki semula Putrajaya.

“Sebab itu pada kami, tidak pelik bahkan boleh dikatakan semestinya usaha pembangkang kini untuk merampas semula kuasa mendapat perhatian dan bantuan asing, apatah lagi pengalaman lepas menunjukkan hasil dan keberjayaan,” katanya.

Baru-baru ini bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Dato’ Mohd Salleh Ismail dilapor mendedahkan ada pemimpin politik Malaysia menerima bantuan dan sokongan moral dari luar negara.

Ia membabitkan individu dan pertubuhan terutamanya di Amerika Syarikat bagi membolehkan pemimpin politik terbabit meneruskan karier mereka.

Isu itu kemudian dihangatkan semula Penasihat SUARAM Dr Kua Kia Soong yang mendesak Pakatan Harapan (PH) menjelaskan hubungan mereka dengan National Endowment for Democracy (NED).

Seperti dilapor portal berita, Dr Kua mendakwa dana kepada blok pembangkang berlaku sejak sedekad lalu.

Menurut laporan itu hubungan antara PH dengan NED didedahkan Presiden International Republican Institute (IRI) AS, Daniel Twining, tiga tahun lalu.

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo