Responsive Ad Slot

Warisan lebar sayap ke Semenanjung ?


Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkemungkinan mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum akan datang (PRU15) di bawah tiket Warisan.

Presiden parti yang berpangkalan di Sabah itu, Shafie Apdal membayangkan keterbukaannya terhadap idea berkenaan, dalam pada pihaknya melihat untuk mengembangkan sayap ke Semenanjung.

“Kami memutuskan tidak akan bertanding di semua negeri, sebaliknya kawasan terpilih. Contohnya dalam PRU akan datang saya telah mencadangkan perkara ini kepada Syed Saddiq kerana pendaftaran MUDA telah ditolak Pendaftar Pertubuhan.

“Beliau dalam keadaan sukar untuk bertanding di masa depan. Memandangkan ada antara rakan seperjuangannya adalah golongan profesional termasuk doktor dan peguam, adalah baik untuk mereka bersama kita turut membantu mentadbir negara.

“Jadi saya fikir, apa salahnya?” katanya dalam forum bertajuk “Where Does Malaysia Go From Here?” anjuran Oxford & Cambridge Alumni Network Malaysia.


Shafie berkata, walaupun tiada niat memecahkan undian dengan membawa Warisan ‘melintasi’ Laut China Selatan, parti itu tetap mempunyai hak untuk menonjolkan diri di Semenanjung.

Menurutnya, jika parti seperti Umno, DAP dan PKR boleh berada di Sabah, tiada sebab untuk Warisan juga tidak boleh hadir di Semenanjung.

“Namun kita tidak akan meletakkan Warisan di Langkawi atau Jerlun. Saya masih memerlukan rakan-rakan sekutu,” katanya merujuk kepada kerusi Parlimen dipegang Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Mukhriz.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, Warisan mampu menyediakan platform untuk golongan muda yang sukar mendapat tempat dalam parti lain.

Berhubung krisis politik kini, Shafie berkata beliau tidak bersetuju sekiranya darurat dilaksanakan lagi, atau untuk pelaksanaan Majlis Gerakan Negara (Mageran) kerana mampu memberi kesan terhadap pelabur.

Tambahnya, darurat yang dilaksanakan baru-baru ini juga tidak membantu dalam mengekang Covid-19 malah bilangan kes dan kematian meningkat.

Bagaimanapun, katanya, apa yang terbaik adalah untuk satu badan merangkumi golongan pakar membawa negara keluar dari krisis.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo