NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tidak wajar lantik Perdana Menteri Interim ketika krisis Covid-19




SHAH ALAM - Pakar Perlembagaan berpendapat bahawa pada situasi negara berdepan dengan krisis kesihatan iaitu pandemik Covid-19 yang telah merekodkan lebih 1.3 juta jangkitan, tidak wajar untuk melantik seorang Perdana Menteri Interim.

Dr Muhammad Fathi Yusof dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, ini kerana Perdana Menteri Interim itu mempunyai peranan yang terhad.

“Istilah Perdana Menteri Interim ini pernah digunakan dalam tempoh seminggu pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membantu Yang di-Pertuan Agong dalam pentadbiran negara ketika tiada jemaah menteri dan juga Perdana Menteri sebenar.

“Perlu diingat bahawa tugas Dr Mahathir pada waktu itu, dua sahaja iaitu yang pertama untuk membantu Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan Perdana Menteri di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43(2)(a). Yang keduanya melaksanakan urusan pentadbiran harian kerajaan.


“Konsep Perdana Menteri Interim pada waktu itu terlalu longgar dan dalam situasi politik semasa ini memang tidak sepatutnya wujud pelantikan Perdana Menteri Interim bagi menangani isu-isu yang besar termasuklah wabak Covid-19,” katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Calon Perdana Menteri Interim timbul selepas dikatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hilang sokongan majoriti dan Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang keabsahaan sebagai Perdana Menteri.

Ia susulan sidang media Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 3 Ogos lalu menegaskan parti itu menarik sokongan terhadap PN dan Muhyiddin.

Setakat ini, 15 ahli Parlimen UMNO telah menarik sokongan menjadikan jumlah yang menyokong Muhyiddin adalah sebanyak 100 sokongan.

“Jadi apa yang perlu dilakukan adalah melantik Perdana Menteri yang benar-benar mendapat kepercayaan anggota Parlimen dan dalam situasi politik semasa, selagi tidak ada calon lain yang benar-benar memperolehi sokongan atau kepercayaan majoriti ahli parlimen, maka Perdana Menteri sedia ada iaitu Muhyiddin akan terus menjawat jawatan berkenaan,” tambah Muhammad Fathi.

Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tengku Razaleigh Hamzah adalah dua nama yang dikaitkan sebagai Perdana Menteri Interim.

Tengku Razaleigh sendiri pada 7 Julai lalu pernah mengatakan kepada Sinar Harian bahawa beliau bersedia untuk menjadi Perdana Menteri Interim sekiranya tiada calon lain yang layak.

Sementara Najib masih berdiam diri walaupun terdapat permintaan dan sokongan yang mahukan Ahli Parlimen Pekan itu sebagai Perdana Menteri Interim bagi menyelesaikan krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang berlaku.

Bagaimanapun Najib ketika ini masih berdepan dengan tuduhan di mahkamah.

Pada 7 Julai 2020 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau ketika ini sedang mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung sabitan kes berhubung keputusan tersebut.

Najib juga berdepan perbicaraan lain melibatkan dana 1MDB Bhd, pertuduhan meminda laporan audit berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain tuntutan cukai RM1.69 bilion daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Memetik kenyataan seorang peguam, A Srimurugan disebuah portal berita, beliau menjelaskan Najib mahupun Ahmad Zahid layak dilantik sebagai Perdana Menteri walaupun kes rasuah mereka masih belum selesai di mahkamah.

Bagaimanapun tegasnya, ia bergantung kepada adakah seseorang itu mendapat sokongan sekurang-kurangnya 111 ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Srimurugan berkata, Najib masih anggota Dewan Rakyat walaupun beliau telah disabitkan oleh Mahkamah Tinggi tahun lalu kerana rasuah berhubung RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

“Perkara 48 (4) (b) Perlembagaan Persekutuan jelas bahawa Najib tetap menjadi ahli Dewan Rakyat sehingga rayuannya berakhir di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Kebijaksanaan Agong

Sementara itu, pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz menegaskan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kebijaksanaan dalam memilih Perdana Menteri yang berkredibiliti walaupun seseorang itu layak menjawat jawatan itu berdasarkan undang-undang.

“Seseorang itu layak untuk dilantik sebagai Perdana Menteri apabila dia memenuhi syarat iaitu pertama ahli Dewan Rakyat dan kedua pada hemat Yang di-Pertuan Agong mungkin mempunyai kepercayaan majoriti.

“Apa-apa pun kita serahkan kepada Yang di-Pertuan Agong melihat kepada kredibiliti calon-calon itu walaupun mereka sebenarnya daripada perundangan layak untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Perdana Menteri

- SINAR HARIAN


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo