Responsive Ad Slot

Tiada persidangan DUN Sarawak dalam tempoh darurat

Dewan Undangan Negeri Sarawak
KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tidak akan berlangsung sepanjang tempoh darurat di negeri ini bermula 2 Ogos hingga 2 Feb depan, kata Speaker Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar hari ini.

Beliau berkata mengikut Seksyen 4 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 selagi darurat berkuat kuasa, peruntukan bagi Persidangan DUN dalam Perlembagaan Negeri Sarawak tidak mempunyai kesan.

“Bermula 7 Jun ke 1 Ogos, kedudukan Dewan Undangan Negeri bergantung kepada Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 15(1)(b) Ordinan Darurat terdahulu.

“Dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) Sarawak 2021, hayat DUN diteruskan dari 2 Ogos 2021 hingga 2 Feb 2022,” katanya dalam sidang media di Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini.

Sabtu lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) selama enam bulan, mulai 2 Ogos ini sehingga 2 Feb tahun depan, berikutan pandemik Covid-19, sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Darurat seluruh negara berkuat kuasa 12 Jan dan berakhir 1 Ogos.

Menurut warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai, Al-Sultan Abdullah bertitah perisytiharan itu untuk menggantung pilihan raya negeri bagi menghalang daripada terus merebaknya wabak Covid-19 jika pilihan raya diadakan.

Sementara itu, mengenai belanjawan negeri bagi 2022, Mohd Asfia berkata keperluan untuk mendapatkan kelulusan DUN adalah tidak penting memandangkan jelas disebut dalam Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021.

“Selagi darurat berkuat kuasa, sebarang perbelanjaan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan boleh dilakukan dengan mendapat kelulusan daripada Ketua Menteri atau Pihak Berkuasa Kewangan Negeri, seperti diperuntukkan oleh sebarang perundangan bertulis atau Arahan Perbendaharaan atau Pekeliling Perbendaharaan, dalam tempoh berkenaan,” katanya. – BERNAMA



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo