NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu lancar Baitul Urus, platform cari jodoh rakyat Terengganu

Hanafiah Mat, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) telah melancarkan aplikasi Baitul Urus sebagai usaha membantu memudahkan golongan muda yang menyimpan hasrat untuk mencari jodoh dan pasangan hidup melalui perkahwinan kali pertama.

Di samping itu, ia juga turut membuka peluang kepada ibu atau bapa tunggal mencari pasangan yang serasi dan sesuai untuk kembali menjalani kehidupan berumah tangga yang lengkap dan sempurna.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, program tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh YPKT bagi memastikan rakyat negeri ini mendapat jodoh secara cepat, mudah dan bersesuaian mengikut kriteria yang dikehendaki.

"Walaupun begitu terdapat beberapa syarat yang telah digariskan kepada mereka yang ingin mencari jodoh melalui aplikasi ini antaranya mestilah rakyat negeri ini samada lelaki mahupun perempuan.

"Mestilah berusia 21 tahun ke atas tanpa mengira di mana mereka bertugas ataupun bekerja. Aplikasi ini tidak terbuka kepada mereka yang mempunyai tujuan untuk berpoligami," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan aplikasi berkenaan secara maya menerusi TV Darul Imam (TVDI), di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, usaha kerajaan mewujudkan insiatif berkenaan adalah bagi mengatasi fenomena kahwin lewat dalam kalangan anak muda yang menjadi suatu kebimbangan.

"Di mana ia menjadi faktor utama menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan, disebabkan gaya hidup pada masa kini yang lebih menumpukan kepada aspek melanjutkan pelajaran, mengejar kerjaya serta memilih untuk tidak terikat dengan institusi perkahwinan.

"Selain itu katanya, tidak menemui calon yang sesuai dan menghadapi masalah kewangan dilihat turut memberi kesan kepada golongan ini melangkah ke gerbang perkahwinan," ujarnya.

Justeru katanya, kerajaan sebelum ini telah mengambil beberapa langkah termasuk mengadakan program Walimatul Urus Perdana untuk memudahkan golongan belia dan beliawanis negeri ini mendirikan rumah tangga.

"Program ini akan diteruskan serta akan dikembangkan lagi dengan turut memberikan tumpuan golongan ibu atau bapa tunggal pula selepas pandemik Covid-19 ini berakhir insya-Allah," katanya.

Sementara itu, Pengarah YPKT, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah berkata, bagi yang berminat menyertai program Baitul Urus itu ia cukup mudah dengan mendaftarkan diri di pautan baitulurus.ypkt.gov.my.

"Di mana maklumat ahli akan disimpan sebagai rujukan, semakan status pendaftaran melalui emel. Selepas itu boleh melakukan proses mencari pasangan mengikut kriteria masing-masing.

"Apabila pasangan telah bersetuju maka kita akan adakan sesi perjumpaan bertempat di pejabat YPKT. Adalah menjadi harapan agar aplikasi ini akan membantu mereka yang masih belum bertemu jodoh.

"Serta ibu atau bapa tunggal yang berminat akan bertemu jodoh dengan pasangan baharu untuk membina semula kehidupan berumah tangga," ujarnya.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo