Responsive Ad Slot

Ramai tokoh wanita lakari sejarah umat Islam


Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Kebajikan itu adalah budi yang indah. Sedangkan dosa adalah perbuatan atau tindakan yang menyesakkan dada, pada hal engkau sendiri segan perbuatanmu itu akan diketahui oleh orang lain." (Sahih Muslim)

SEPANJANG sejarah umat Islam, ramai tokoh wanita muncul. Ada yang membawa kesan positif kepada umat, malah ada juga yang memudaratkan.

Perdana Menteri Pakistan suatu ketika dahulu, Benazir Bhutto sering dianggap sebagai wanita pertama memimpin sebuah negara Islam. Ini adalah salah. Bagaimanapun, jika beliau dikatakan wanita pertama memimpin sebuah negara Islam pada zaman moden ini, ia adalah suatu kenyataan.

Ketika Benazir memenangi pilihan raya Pakistan buat pertama kali pada 1988, tokoh politik Pakistan berasa tercabar. Malah ada yang menjerit begini: "Mengapa ini harus berlaku, belum pernah terjadi seorang wanita menjadi pemimpin sebuah negara Islam."

Sebenarnya, sepanjang sejarah Islam, ia tidak pernah sunyi daripada 'melahirkan' tokoh wanita yang mencatat sejarah pada zamannya. Antara wanita itu ialah isteri Rasulullah s.a.w., iaitu Khadijah binti Khuwailid, Siti Aisyah Abu Bakar dan anakanda baginda Siti Fatimahh Az-Zahraa.

Siti Aisyah terbabit dalam kancah politik dan pernah bertempur dengan Sayidina Ali bin Abu Talib dan Muawiyah Abu Suffian, iaitu khalifah Bani Umaiyah yang pertama.

Dalam buku '100 Wanita Terbilang' karya Syed Ahmad Semait, dipaparkan kisah bagaimana wanita Islam mula memegang tampuk kerajaan ketika zaman kemerosotan Bani Umaiyah (termasuk di Andalusia, Sepanyol), Bani Abasiyah dan kerajaan Fatimiyah.

Kemewahan ketika pemerintahan menyebabkan khalifahnya lupa daratan. Mereka lebih gemar berfoya-foya dan bermesra dengan gundik daripada pelbagai bangsa. Hamba-hamba inilah yang berkuasa kerana khalifah lebih gemar mengikut telunjuk mereka dalam menjalankan tugas.

Menurut Syed Ahmad Semait, campur tangan golongan wanita dalam hal ehwal pentadbiran bermula daripada masa pertengahan pemerintahan Bani Umiyah secara berperingkat.

Kemudian ia tersebar pada masa pemerintahan Bani Abasiyah pada peringkat kedua dan kemudian pada zaman pemerintahan Fatimiyah dan Ayyubiah.

Antara wanita yang terkenal ketika pemerintahan Abasiyah ialah Zubaidah Ja'far, iaitu permaisuri kepada khalifah Abasiyah teragung, Harun Ar-Rashid.

Zubaidah berkahwin dengan Harun Ar-Rashid pada 165 Hijrah. Zubaidah mempunyai pengaruh yang besar dalam urusan pentadbiran negara. Pengaruhnya yang ketara sekali ialah dalam hal pelantikan anaknya, Al-Amin memegang teraju khalifah.

Atas pengaruhnya, Al-Amin akhirnya menjadi putera mahkota dan kemudian khalifah tetapi tidak lama selepas itu digantikan saudara tirinya, Al-Makmum.

Bagaimanapun, campur tangan golongan wanita ketika itu bergerak di belakang tabir. Mereka menjalankan tugas khalifah bagi pihak suami, anak yang masih kecil atau saudara yang sudah terpesong.

Wanita Islam pertama menjadi pemimpin mutlak ialah Syajaratuddur, iaitu daripada kerajaan Fatimiyah di Mesir.

Menurut Stephen Hughes, seorang penulis Reuters yang memetik karya Profesor Fatima Mernissi dalam bukunya, 'Sultanes Oubliees, Femmes Chefs d'Etat en Islam (dalam bahasa Perancis yang bermaksud Sultan-Sultan yang dilupakan, Ketua-Ketua Kerajaan Islam) berkata Shajarat ad-Dur (Syajaraddur) mengetuai tentera Mesir yang mematahkan serangan angkatan salib Kristian dan menawan Raja Louis IX dari Perancis.

Menurut Fatima Mernissi, sorang profesor sosiologi Maghribi, antara wanita Islam yang menjadi ketua negara ialah Sultanah Radia daripada Dinasti Delh yang memerintah India selepas menggulingkan abangnya, Rosn ad-Din pada abad ke-13.

Wanita Islam juga pernah memerintah Yaman. Antaranya ialah Malika Urwa yang mengepalai negara selama 50 tahun pada abad ke-11. Apabila menyebut nama Yaman, tidak dilupakan ratu yang paling masyhur ketika zaman Nabi Allah Sulaiman a.s. Beliau ialah Puteri Balqis yang kisahnya dan Nabi Sulaiman a.s. ada disebutkan dalam al-Quran.

Manakala di Alam Melayu sendiri, muncul beberapa wanita Islam yang menjadi ketua negara. Sekurang-kurangnya empat wanita pernah memerintah Kerajaan Aceh pada abad ke-17. Mereka termasuk Taj al-Alam (Mahkota Alam) dan Nur al-Alam (Cahaya Alam).

Di Andalusia, antara wanita yang mencipta nama ketika pemerintahan kerajaan Umaiyah ialah Az-Zahraa, Subaihah (Ratu Qurtubah) dan I'timad Ar-Rumaikiyah.

Az-Zahraa ialah jariah khalifah Bani Umaiyah (Andalusia) yang kelapan, iaitu Abdul Rahman bin Muhammad bin Abdullah yang digelar An-Nashir. Kerana terlalu cintakan jariah inilah, An-Nashir sanggup berbuat apa saja untuknya termasuk membina sebuah kota yang dinamakan 'Az-Zahraa' pada 325 Hijrah.

Suhaibah pula ialah permaisuri kepada Khalifah Al-Hakam Al-Mustanshir. Beliau menguasai segala tindak tanduk khalifah dan akhirnya memaksa Al-Hakam memilih puteranya, Hisyam Al-Hakam sebagai khalifah.

Selepas pemindahan kuasa, Suhaibahlah yang paling berkuasa di Andalusia kerana anaknya, Hisyam baru berusia 11 tahun. Suhaibah meninggal dunia pada 398 Hijrah.

Mernissi juga mendedahkan kisah ratu Islam lain, yang dakwanya kisah mereka diabaikan kebanyakan ahli sejarah Arab. Antara mereka ialah Aisha al-Hurra, ibu kepada khalifah Islam yang terakhir di Granada (Sepanyol), iaitu Mohamad Abu Abdullah atau Boabdil.

Aisha memerintah kerajaan Granada apabila suaminya 'mabuk cinta' dengan seorang hamba Sepanyol. Aisha mengesyaki wanita itu adalah ejen Raja Ferdinand dan Isabella, yang akhirnya memaksa orang Islam Moor keluar dari Granada pada 1492, sekali gus menamatkan pemerintahan Islam di Andalusia.

Salah seorang tokoh yang turut diperkatakan oleh Mernissi ialah Hakimat dari Tetuan. Bandar Tetuan terletak di Maghribi manakala Hakimat adalah salah seorang gabenornya. Beliau melancarkan perang jihad terhadap kerajaan Ferdinand dan Isabella selepas Andalusia jatuh ke tangan kerajaan Sepanyol.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo